TERJAH MEDIA: APA PENULIS WAJIB TAHU DAN BUAT? (Bhgn. 1)

SESIAPAPUN boleh menulis atau teringin menjadi penulis atau teruja menggelarkan dirinya sebagai seorang penulis. Bukan sahaja itu, kini, ramai juga yang ingin menjadi penerbit. Maka, lahirlah lambakan bahan penulisan dan juga wujudnya lambakan penerbit (tak kisahlah mereka wujud atas label apa yang mereka inginkan).

Saya tidak mahu menyentuh hal lambakan penerbit dalam penulisan kali ini. Saya akan sentuh hal ini nanti. Sengaja saya nyatakan lebih awal supaya memberi peringatan kepada diri saya dan juga pembaca/penulis/penerbit budiman sekalian.

Topik kali ini mengenai persediaan yang seseorang penulis wajib tahu atau buat sebelum, semasa dan selepas menghantar manuskrip atau karyanya ke mana-mana media yang diingini. Saya tertarik untuk berkongsi tentang hal ini atas beberapa sebab, iaitu:

  • Kebanyakan penulis baru (dan juga lama) sebenarnya tidak tahu bagaimana cara untuk menghantar karya mereka
  • Ramai yang secara sedar atau tidak telah melanggar etika penulisan (dan penerbitan)
  • Penulis baru terutamanya terlalu leka dan bodoh sombong (tidak ingin belajar dan rasa selesa apabila kononnya karya mereka mendapat sambutan yang banyak di media sosial)
  • Penulis lama angkuh, pantang ditegur dan ego untuk menerima kritikan
  • Legasi Oakheart berhadapan dengan pelbagai ragam daripada para penulis yang menghantar karya mereka. Setiap ragam mewakili sikap yang diketengahkan oleh mereka sama ada secara sedar ataupun tidak. Dan ini serba sedikit mengganggu perkembangan mereka dalam dunia penulisan.

Tidak dinafikan, ada yang sangat bagus menulis tetapi tidak dari segi sikap. Ada yang sikapnya bagus tetapi penulisannya tidaklah sehebat mana. Walaupun begitu, orang sebegini yang sungguh-sungguh ingin belajar dan perbaiki karya mereka, mereka inilah yang akan lebih ke hadapan, insya-Allah.

Saya berharap agar apa yang dikongsikan ini serba sedikit dapat membantu mereka yang benar-benar ingin memajukan diri. Yang terus ego dan berasa sudah cukup selesa dengan cara dan karya masing-masing, dipersilakan dengan pilihan anda. Saya tiada kuasa untuk memaksa dan menghalang.

Bahagian 1 ini saya kongsikan dahulu tentang persediaan sebelum penulis menghantar karya. Dan saya mohon anda hebahkan kepada rakan-rakan lain agar sama-sama dapat kita manfaatkan ilmu milik Tuhan ini.

SEBELUM TERJAH MEDIA

  1. Hadir mana-mana bengkel penulisan yang dirasakan sesuai dengan kemampuan anda. Laburlah dalam menuntut ilmu demi memastikan penulisan lebih berkualiti dan menepati kehendak rumah penerbitan. [jangan jadi bodoh sombong]
  2. Ambil tahu dan kaji gaya penerbitan sesebuah rumah penerbitan. Setiap penerbit punya gaya tersendiri (contoh: gaya bahasa, genre, dll.) [jangan main hantar manuskrip dan ‘berlakon’ kononnya manuskrip itu khas untuk rumah penerbitan tersebut]
  3. Sunting dan semak manuskrip (contoh: ejaan, tanda baca, tatabahasa, dll.). Manuskrip yang kemas dan bersih akan memberikan tanggapan pertama yang baik. [jangan tulis asal tulis dan manuskrip nampak tidak kemas dengan pelbagai kesalahan yang menyakitkan mata editor seolah-olah kita tidak pernah belajar subjek Bahasa Melayu di sekolah]
  4. Simpan nama fail yang memudahkan rumah penerbitan ketika memuat turun manuskrip anda (contoh: Cerpen Rasian oleh Hafiz Latiff) [jangan ambil mudah dan simpan nama fail yang sukar kerana bukan manuskrip anda sahaja yang akan sampai di kantung e-mel editor]

Terima kasih dan selamat berkarya!

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

2 Comments

  1. […] di Bahagian 1 yang lepas saya kongsikan tentang persediaan sebelum anda terjah media, kali ini saya kongsikan […]

  2. […] anda tentang persediaan sebelum dan semasa mahu terjah media. Pautannya anda boleh klik di sini; Bahagian 1 dan Bahagian […]

Comments are closed.