WUJUDKAH KEJUJURAN DALAM KEPENGARANGAN?

PERNAHKAH suatu ketika kita membacakan puisi seseorang penyair, kita terkagum akan keindahan kesenian bahasa dan kedalaman maknanya, tapi tanpa kita sangka, sebenarnya penyair itu adalah seseorang yang bertentangan daripadanya? Tidakkah kita terfikir, boleh jadi seorang William Shakespeare itu sebenarnya seorang perogol dan Pablo Neruda adalah seorang kasanova yang bersembunyi di sebalik puisi-puisi romantisnya? Kemungkinan itu adalah sentiasa wujud, dan ianya adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak sebegitu sahaja. Menolak kemungkinan adalah bermakna kita telah menoktahkan pencarian makna kebenaran pada satu sisi yang mungkin suatu hari nanti ianya sendiri  menjerat kaki kita dan tersadung ke dalam lembah yang sangat hodoh.

William Shakespeare
Pablo Neruda

Mungkin sekiranya pengarang itu masih hidup, kita dapat menelaah kehidupannya dengan bertanyakan kepada teman-teman rapatnya, ataupun meneliti perjalanan hidupnya dari dekat ataupun jauh. Tapi untuk pengarang-pengarang seperti nama yang saya sebutkan tadi itu, yang telah meninggal dunia berdekad dan berabad lamanya, bagaimana kita dapat memastikan akan penulisan itu merupakan bayangan diri penulisnya?

Sekalipun kita sentiasa didengungkan bahawa seorang pengarang itu menulis dengan pengalaman dan hatinya, tapi ternyata ianya adalah sesuatu yang tidak dapat diukur dengan sesuatu yang konkrit. Pada ketika inilah, kita akan mula mengingati kata-kata hikmat daripada Roland Barthes yang telah menuliskan suatu esei ringkas tapi memberi impak besar terhadap dunia kepengarangan, yang terhimpun dalam kalimat, “The death of the author” (Kematian Pengarang). Sekalipun saya pernah mengkritik gagasannya itu dalam suatu makalah, tapi sengaja ingin saya menarik kembali gagasannya itu ke dalam esei ini sebagai suatu renungan pada persoalan yang sedang saya bawakan, di mana Barthes mempersoalkan akan kewujudan penulis dalam karyanya selepas karya tersebut menemui pembacanya.

Baginya, pengarang tidak lagi wujud dalam karyanya melainkan pengarang itu sendiri telah beralih menjadi pembaca apabila karyanya disiapkan. Bukan sahaja pengarang itu sendiri tidak dapat didakwakan ke atas hasil karyanya, malah pengarang itu sendiri tidak dapat mendakwa bahawa pentafsirannya itu lebih betul berbanding pembaca lain atas karya yang dihasilkannya sendiri!

Gagasan Barthes membawakan persoalan yang saya bangkitkan tadi itu kepada wilayah yang munasabah, di mana kita akan terperangkap dalam mimpi indah karya-karya yang kita baca apabila kita tidak mampu untuk memisahkan antara karya itu yang berdiri sebagai hasil seni dengan pengarang sebagai seseorang yang telah selesai bekerja menghasilkan karya seninya. Apabila kita tidak berupaya memisahkannya, maka pentafsiran kita akan dikelabui dan ditipu oleh diri pengarang yang mungkin sahaja sebenarnya adalah seorang penghisap dadah atau selalu menjerit-jerit kepada ibunya di rumah. Saya teringat pada kata seorang pengarang dalam satu buku panduan menulis cerpennya, di mana katanya, “Menulis cerpen itu semudah menipu.”

Roland Barthes

Ya, sememangnya apabila menulis karya, kita akan melakukan “penipuan” dengan cerita-cerita rekaan ataupun menulis puisi-puisi yang tidak realistik. Tetapi pembaca yang terperangkap dalam teknik pembacaan teks-pengarang ini akan mula ‘mengagum-ngagum’ selepas membaca cerpen yang menjerat emosi pilu, dan mula bertanya-tanya, “Apakah ini merupakan cerita sebenar diri pengarang?” Sedangkan boleh jadi pengarang itu menulis ceritanya itu selepas baru sahaja meraikan kegembiraan kelab pasukan bola liga Inggerisnya yang menjuarai perlawanan bola. Tinggal sahaja permainan bahasa dan emosi adalah suatu bakat buat dirinya. Kerana sudah tentulah seseorang yang tidak pandai bermain bahasa dan makna, pengalaman hidup maha perit yang dilaluinya itu pun belum tentu dia akan berjaya memaparkannya dalam bentuk kata-kata yang memancing emosi pembaca.

Seorang penulis sudah tentu sahaja boleh (dan ramai sekali yang begitu) membongkar pengalaman-pengalaman kreatifnya dalam menulis sesebuah karya dengan memerihalkan apa yang telah dilaluinya dan emosi-emosi yang menyelubunginya. Tapi pernahkah kita terfikir, boleh jadi “pembongkaran” pengalaman kreatifnya itu hanyalah suatu nota idea untuk menghasilkan karya yang seterusnya? Atau sebenarnya… itulah karyanya yang terbaru!

Sekali baca terhadap esei saya ini, mungkin sahaja kalian merasakan bahawa saya terlalu bermimpi buruk dengan hubungan dunia kepengarangan dan kejujuran. Jika tulisan saya ini dibaca dengan nada pesimis, maka pasti tulisan saya akan dibaca seolah-olah menyamakan seorang penulis sebagai seorang penipu. Tapi jika tulisan saya ini dibawa dengan nada optimis, maka tulisan saya ini akan kelihatan untuk cuba membawakan suatu persoalan besar ke atas dunia kepengarangan dan merombak semula cara kita membaca dan mentafsir karya yang kita baca supaya kita tidak terjerat dalam pembacaan autoritarian – yang berlagak seperti seorang hakim yang menunggu untuk menjatuhkan hukum kepada karya tersebut berbanding menjadi seorang pengembara yang melihat karya-karya itu sebagai tempat persinggahannya bagi mencari suatu jawapan yang hilang daripada diri sendiri.

Maka, ketika usai menghabiskan bacaan bagi sesebuah karya, penerokaan kita terhadapnya dan permulaan pengembaraan kita harus dimulakan dengan persoalan yang paling utama:

“Wujudkah kejujuran dalam karya yang sudah dibaca?”

 

Sumber gambar: Google Images

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.