SASTERA SEBAGAI SUATU KEBOHONGAN

APAKAH sastera merupakan sebahagian hal-hal yang paradoksikal? Bahawa ia suatu bentuk ciptaan manusia yang berlaku tidak jujur dalam kata-kata, malah suatu pertentangan pula dengan diri manusia yang berkata-kata?

Sir Philip Sydney, penyair Inggeris (1554-1586) menuliskan An Apology for Poetry bagi jawapan kepada kebohongan dalam puisi sebagaimana yang didakwa oleh seorang satiris Inggeris, Stephen Gosson (1554-1624). Gosson menyatakan bahawa puisi adalah ibu kepada segala kebohongan. Sydney pula bertegas bahawa penyair tidak pernah menyatakan bahawa kata-katanya benar atau tidak, maka dia bukan seorang pembohong; for the poet, he nothing affirms and therefore never lieth.

Kisahnya, kita mengenal seseorang penulis yang selalu menuliskan kebaikan sedangkan itu bukan dirinya, atau menuliskan keburukan sedangkan dirinya tidak begitu. Selagi penulis tidak menegaskan apa-apa tentang karyanya, maka dia tidak boleh dikatakan benar atau bohong. Penegasan ini kelihatan seperti suatu pelepasan diri yang agak mudah. Selagi seseorang pengarang tidak membicarakan karyanya sendiri dengan menegaskan ia sebagai suatu kata-kata yang benar atau suatu penipuan, maka selagi itulah dia tidak dapat dicap sebagai seorang pembohong. Apatah lagi puisi juga bersifat ideal dan sejagat menurut pemahaman pembaca. Ya, seperti suatu pelepasan diri yang mudah.

Apakah fiksyen, yang dikatakan suatu pembohongan berdarjat, merupakan suatu gerbang tak berkunci bagi semua pengarang untuk berpusu-pusu lolos begitu sahaja lalu membolehkannya berbohong bukan hanya sebagai fiksyen tetapi juga dalam konteks esensi (roh seseorang pengarang)? Apakah esensi yang bohong boleh dikesan? Apakah esensi boleh berbohong?

Apakah esensi boleh menyatakan benar dan salah itu sebagaimana sesetengah sarjana melihat Marcel Proust sebagai seorang lelaki homoseksual dengan melihat penciptaan nama watak wanitanya yang maskulin dalam Remembrance of Things Past? Apakah Oscar Wilde sebenarnya ‘lurus’ dan De Profundis hanya sebuku warkah yang meluahkan kecewa dan kasih sayangnya kepada seorang sahabat? Bagaimana kalau Keris Mas dan Chairil Anwar sebenarnya tak harus menjadi pujaan?

Sukar untuk kita langsung mengesan pembohongan. Melainkan penulis melakukan kesilapan dalam pembohongannya secara teknikal lalu langsung tersadung lewat kraf naratifnya yang mengada-ngada atau terlalu mencuba. Sama seperti bahasa tubuh orang yang berbohong. Ia tergantung pada kemahiran pengarang. Kalau pengarang itu terlalu mahir berbohong, bagaimana? Dan apakah konteks pembohongan seseorang pengarang?

Meskipun Sydney menyatakan bahawa seseorang penyair yang tak menegaskan betul dan salah tidak boleh dianggap sebagai pembohong, masih dia sendiri menyatakan dalam tulisannya itu dan kelihatan tidak pasti dengan kata-katanya:

…that they should be the principal liars, I answer paradoxically, but truly, I think truly, that of all writers under the sun, the poet is the least liar, and, though he would, as a poet can scarcely be a liar.

Sir Philip Sydney

Masih suatu pelepasan diri yang mudah. Jadi, sebagai pengarang, penyair khususnya, tak usah menegaskan apa-apa meski sudah berbohong.

Bagi sesetengah orang, untuk persoalan-persoalan ini, ia tak berkesudahan dengan jawapan. Atau memperoleh jawapan tetapi masih di belakangnya, belum tentu benar atau salah. Atau tidak mengapa kalau pengarang berbohong. Tidak semua orang mahu sakit kepala mengkaji dan memikirkan hal ini. Yang penting, sebagai pembaca, apapun jenis kebohongan itu, ia tetap suatu kebohongan berdarjat (atau kebenaran) kerana dia sudah mendapat nikmat. Masih kebohongan dan kebenaran, ia tergantung pada fikiran yang berbeza.

Sayidah Mu’izzah
Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Mungkin sekarang sedang bohong. Atau mungkin sekarang sedang benar.

Sumber gambar: Google Images

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.
Penulis dan Ilustrator.
Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Penulis dan Ilustrator. Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.