PERIHAL DRAMA PETANG-PETANG

  1. ‘Drama petang-petang’ adalah istilah percakapan harian yang diberikan masyarakat hari ini kepada slot drama televisyen yang disiarkan pada waktu petang (termasuk slot tayangan pada waktu malam).
  2. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai ‘abang sulung’ dunia penyiaran di Malaysia telah menjadi perintis kepada perkembangan drama televisyen di Malaysia. Generasi terdahulu pasti cukup sinonim dengan ‘Drama Minggu Ini’ dan ‘Panggung RTM’ yang menghidangkan drama-drama tempatan sekurang-kurangnya 52 drama dalam setahun.
  3. Selain drama bangsawan dan barat, judul seperti Anjang Aki (1981), Tok Perak (1981) dan Perhentian (1982) merupakan di antara drama televisyen yang mendapat sambutan hangat.
  4. Rentetan itu, lebih banyak percubaan meneroka potensi kandungan drama tempatan dan antarabangsa. Formula soap opera dilihat menjadi dengan sambutan yang diberikan terhadap siri televisyen popular, Dallas (1978)
  5. Berasaskan kepada sambutan tersebut, sebuah siri yang dinamakan P.J. Holding telah diterbitkan. P.J Holding (1983) berkisar golongan korporat di bandar satelit Petaling Jaya yang sarat dengan pelbagai skandal dan konflik dalam dunia perniagaan. Antara barisan pelakon siri ini termasuklah Aziz Singah, Osman Zailani, Azmil Mustafa dan Yusof Haslam.
(Allahyarham) Aziz Singah dan Datuk Yusof Haslam dalam salah satu babak dalam siri PJ Holding

  1. Drama televisyen tempatan benar-benar mendapat tempat di hati penonton. Judul-judul bersiri lain yang pasti cukup ikonik antaranya termasuklah; Rumah Kedai, Naik Tangga Turun Tangga, Opah dan Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Kesemua drama yang disebut ini mengangkat tema kekeluargaan dan permasalahan masyarakat.
Barisan pelakon drama bersiri Rumah Kedai
  1. Penerbitan drama semakin rancak. Era pra dan pasca milenia memperlihatkan dominasi Kuasatek Pictures dalam dunia penerbitan drama. Cinta Korporat, Cinta Antara Benua, Salam Taj Mahal dan Romeo dan Juliet antara judul yang menjadi kegilaan penonton. Drama-drama ini menjadi lebih tersohor dengan adanya lagu tema dicipta khusus untuk setiap drama yang diterbitkan. Malahan, sebahagian lakon TV dilamar untuk diadaptasi ke medium novel.

https://www.youtube.com/watch?v=TEqMsi4BZGM

Lagu Tema Salam Taj Mahal nyanyian Umi Aida

  1. Bermula dengan skala penerbitan sekurang-kurangnya satu drama seminggu, angka itu bertambah. Hari ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mencatatkan sekurang-kurangnya 165 drama telah diterbitkan pada 2016 dengan purata kos penerbitan sebanyak RM 71.20 juta.
  2. Perkembangan ini dilihat sesuatu yang baik dalam memastikan kelangsungan hayat penerbitan drama serta kandungan kreatif untuk keperluan televisyen.
  3. Namun begitu, hal yang menjadi persoalan, adakah kuantiti penerbitan drama serta kos jutaan ringgit yang perlu menjadi kayu ukur?
  4. Dalam era konvergen, terlalu banyak platform untuk dicapai masyarakat. Baik televisyen mahupun saluran televisyen digital. Pilihan penonton pelbagai, persaingan semakin pesat. Penonton perlu menonton lebih banyak kandungan tempatan yang berkualiti.
  5. Gatekeeper (baca: penerbit dan penyiar) perlu lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kualiti kandungan. Sebahagian drama-petang-petang yang diadaptasi dari novel bertemakan kahwin lari, ‘kau merajuk aku pujuk’ atau segala macam judul ‘suamiku’ perlu diteliti semula. Penulis baharu dan berpengalaman sentiasa bersedia memberikan idea-idea yang lebih segar untuk penerbitan sesebuah drama. Kan?
Gambar sekadar hiasan

Sumber gambar: Google Images
Sumber data penerbitan drama: Laman web rasmi FINAS

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.