SASTERA BUKAN TUNGGANGAN SKEMA PENILAIAN UJIAN

KETIKA mengikuti majlis berbuka puasa bersama Alumni MPR (Minggu Penulis Remaja) di #KABO (Kafe Buku Oakheart) di Bangi Ahad lepas, kami berbincang tentang pelbagai perkara. Antara perkara yang dibangkitkan adalah seputar pada persoalan tentang bagaimana untuk membina penilaian ke atas karya-karya sastera? Apakah karya sastera memerlukan suatu skema tertentu dengan teori dan alat teknikal bagi mencerap kualiti pengkaryaan?

Sebenarnya, pemikiran yang meletakkan skema ke atas karya seni (ya, sudah tentunya sastera adalah cabang kepada dunia kesenian) merupakan suatu pemikiran yang terperangkap dalam skema ujian sekolah membawa kepada skema pemarkahan juri sayembara. Pemikiran sebegini melihat bahawa karya sastera itu kualitinya ditentukan oleh aras skema tertentu yang berstruktur dengan alat-alat teknikal yang meletakkan karya sastera itu sebagai suatu bahan uji kaji dalam menentukan ke mana kualitinya itu perlu diletakkan. Karya sastera telah menjadi sampel bahan perkilangan yang perlu melalui proses penilaian terakhir oleh pakar penilai bagi menentukan sama ada bahan tersebut daripada jenis gred A, B, ataupun C.

Hal-hal titik bengik seperti inilah yang membawa kepada kemunduran karya sastera dan keresahan penulis muda yang baru hendak menyelami dunia kesusasteraan. Mereka bermula daripada wajah-wajah penulis besar yang mereka perhatikan dalam bacaan-bacaan mereka, tetapi akhirnya mengalami kemurungan (depression) awal-awal oleh ahli-ahli hukum yang meletakkan pembacaan teknikal ke atas karya mereka dan mendikte mereka dengan komentar-komentar yang jelas sebenarnya mengarah kepada penyuguhan agar penulis-penulis muda ini mengikuti cara kepengarangan mereka yang telah “diuji masa dan sayembara”.

Pendiktean inilah yang akan membunuh bakat penulis-penulis muda apabila sedari awal lagi telah diminta untuk meniru bayang-bayang kepengarangan orang lain. Natijahnya, penulis muda ini telah dibunuh identiti mereka daripada awal-awal lagi. Tidaklah dinafikan bahawa penulis muda masih berada dalam usia-usia pencarian identiti dan lazimnya cenderung membawa pengaruh gaya kepengarangan penulis-penulis yang dikagumi mereka ke dalam karya-karya mereka. Tetapi, apabila mendikte mereka dengan suatu gaya kepengarangan tertentu, maka proses perkembangan bakat itu terus terganggu seperti seorang ibu memarahi anaknya yang berangan-angan hendak menjadi seorang Superman ataupun Power Rangers seusai menontonnya di televisyen.

Pembunuhan imaginasi daripada awal ini menyebabkan anak tersebut terbantut lemah dalam berimaginasi dan proses-proses kreativitinya itu tersangkut oleh pendiktean yang tidak seiring dengan tahap rangsangan imejan mereka pada tahap sebegitu. Sedangkan seseorang yang baru mula hendak mengenal aksara, mereka harus diajar bagaimana untuk menyusun kata daripada rangsangan imaginasi mereka sendiri, bukannya didikte untuk mengikut jalur sesuatu gaya kepengarangan membuta tuli. Kerana boleh jadi, daya imaginasi mereka itu mampu kembang bersepadu menjadi sesuatu yang lebih baharu dan membina rasa.

Sedangkan karya sastera itu harus dinilai sebagai sebuah karya seni, yang mana tidak ada sebarang bentuk perhukuman pun ke atasnya untuk mengatakan karya dengan gaya dan wajah tertentu adalah yang baik, dan yang sebaliknya pula adalah buruk; atau karya dengan memakai teori tertentu lebih berkualiti dan yang sebaliknya pula tidak berkualiti; atau karya yang memenangi sayembara adalah lebih baik berbanding karya yang tidak memenanginya. Penilaian-penilaian hukum sebegini adalah suatu penilaian saintifik yang sangat mencacatkan sesebuah karya seni sehingga karya seni boleh runtuh bertabur oleh skema-skema yang merimaskan ini. Malah acap kali kelihatan dalam dunia sayembara sastera, yang mana karya yang sama tidak memenangi sesebuah sayembara tapi mampu memenangi sayembara yang lain. Ternyata ketika karya itu hendak dihukum dengan logik objektif, tetapi tetap terhukum dengan objek yang subjektif.

Kita mungkin boleh meletakkan kayu ukur tertentu sebagai landasan kritikan seperti moraliti, pemikiran nilai, ideologi, dan sebagainya sebagai alat-alat ukuran. Tetapi itu semua cumalah alat untuk pembedahan karya dengan menyiat isi-isinya sebagai suatu pembangunan wacana, tetapi tetap sastera bukanlah sesuatu yang diukur dengan alat-alat objektif sebegitu. Ternyata meletakkan objektiviti ke atas corak penilaian karya sastera ke atas penilaian manusia yang sentiasa subjektif itu akan menjadikan keruntuhan sastera di negara kita akan lebih bertambah cepat prosesnya.

Tidaklah bermakna dunia sastera sudah perlu menghentikan sayembara-sayembara, kerana ternyata ianya adalah perlu sebagai rangsangan kehadiran sastera dalam dunia kemasyarakatan. Tapi perlu disuguhkan akan betapa perlunya kita berhenti menghukum karya sastera dengan penilaian-penilaian objektif kerana akibatnya karya itu akan terperangkap dalam penjara objektiviti lalu natijahnya karya tersebut tidak mampu untuk mendasari lebih jauh ke dalam diri masyarakat.

Sastera bukanlah tempatnya untuk berbincang soal alat dan ukuran; sastera adalah tempat mencari diri yang hilang. Sastera bukanlah tempatnya untuk mendikte makna untuk menjadi ikutan; sastera adalah tempat merenungi makna kehidupan. Sastera bukanlah tempatnya untuk membetulkan pandangan alam; sastera adalah tempat mengakrabi dan bersatu dengan alam (memeluk ke”alam”an dan menggali peng”alam”an). Sastera bukanlah tempatnya untuk menyatakan kebenaran; sastera adalah tempat me”nyata”kan khayalan dan meng”khayal”kan kenyataan. Sastera bukanlah tempatnya untuk menentukan kehidupan; sastera adalah tempat melihat kehidupan sebagai taburan aksara yang menemukan kata-katanya. Sastera bukanlah tempatnya untuk membicarakan hukum dan tatabahasa; sastera adalah tempat yang sunyi daripada hukuman kerana kata tidak memerlukan hukum untuk hidup sebagai kata-kata. Sastera bukanlah tempatnya untuk membicarakan fakta daripada buku; sastera adalah tempat pertemuan antara sejarah yang bisu dengan realiti yang bingit. Sastera bukanlah sebuah rumah yang telah siap dibina dengan peraturan lembaga; sastera menemukan diri pengarang kepada rumah yang tidak berdinding dan berpintu.

Di penghujung ini, saya tinggalkan suatu kata-kata daripada Kassim Ahmad, seorang pendeta sastera yang terlalu bertuah untuk kita memilikinya di dunia,

“Sastera bukan seorang dewi yang ditugaskan Brahma untuk menghiburkan manusia terkutuk di dunia ini, tetapi sebuah kandil yang menenangkan fikiran, hati dan jiwa makhluk yang berbahagia.”

Kassim Ahmad

 

Sumber gambar: Google Images

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.