KIUB KREATIF RORY’S STORY

SEBAGAI penulis, kalian pernah menghadapi writer’s block? Kita selalu mendengar istilah ini, bukan? Kita sering dengar juga terdapat segelintir penulis yang mengeluh, “Tak ada idea, tak ada idea.” Benarkah tak ada idea? Sedangkan semua hal di sekeliling kita boleh dijana sebagai idea. Jadi, sebetulnya, apakah kita menghadapi masalah kreativiti?

Jadi, saya ingin berkongsi dengan kalian tentang Rory’s Story Cubes. Salah satu permainan yang penting untuk saya sebagai seorang penulis walaupun permainan ini tidaklah dicipta khas untuk golongan penulis sahaja. Teruskan membaca dan kalian akan tahu sebab permainan ini sesuai untuk semua golongan.

 APA ITU RORY’S STORY CUBES?

Antara tema kiub Rory’s Story yang saya miliki

Ya. Ia nampak seperti dadu-dadu bergambar yang terpisah-pisah mengikut set tema. Terdapat 12 tema asas bagi permainan ini selain daripada set-set koleksi seperti Batman, Dr. Who, Scooby Doo dan sebagainya. Setiap satu set asas mempunyai 3 kiub. Setiap muka kiub mempunyai imej yang berbeza. Untuk satu set lengkap permainan ini, kita harus punya 9 kiub Rory’s Story. Tapi apa sebenarnya Rory’s Story Cubes?

Kita berkenalanlah dulu dengan perekanya, Rory O’Connor. Beliau seorang jurulatih dan pembimbing kreativiti, dan beliau menyedari bahawa kebanyakan golongan dewasa menghadapi masalah dalam pemikiran kreatif. Rory mendapat inspirasi daripada Teknik ‘Advanced Civilisation’ oleh Dr. Win Wenger, Ph.D, seorang perintis dalam bidang kreativiti, metod kreatif juga pembangunan minda dan otak. Dr. Win Wenger turut menubuhkan badan NGO bagi menjalankan Projek Renaissance, yang didedikasikan untuk peningkatan potensi seseorang individu dalam pecutan menuju New Renaissance. Dengan gabungan inspirasi teknik Dr. Wenger juga pembacaan Rory daripada buku Hare Brain, Tortoise Mind dan bengkel Guided Self-healing yang diikutinya, maka pada tahun 2004, terciptalah Rory’s Story Cubes.

 

Kenapa kiub-kiub ini dicipta berimejan? Rangsangan visual pada wajah kiub merupakan suatu kit bantuan rangsangan minda seperti kata Rory O’Connor, “Oleh sebab otak berfikir menerusi imejan dan imejan dituturkan melalui perkataan, memiliki bantuan visual merupakan suatu manfaat bagi penyelesaian masalah kreativiti. Menggunakan imejan untuk bercerita mampu merangsang otak berfikir dengan haluan yang baru.” Jadi, Rory’s Story Cubes, sebenarnya merupakan salah satu alat merangsang kreativiti seseorang.

BERKISAHLAH!
Konsep permainannya ialah bercerita. Permainan ini sesuai untuk kanak-kanak berusia 3 tahun ke atas dan tentunya sesuai untuk golongan dewasa. Cara bermainnya amat mudah:

  1. Kalian boleh memilih tema tertentu atau mencampurkannya secara rawak. Yang penting 9 kiub digunakan dalam permainan.
  2. Lemparkan kiub-kiub tersebut seperti biasanya kalian bermain Dam Ular, Cluedo, Monopoli atau Saidina, atau seumpamanya.
  3. Susunan kiub bermula dari kiub pertama yang kalian lihat, kiub kedua yang kalian nampak, kiub ketiga yang kalian pandang dan begitulah seterusnya.
  4. Berkisahlah! Usah saring ceritamu. Biarkan cerita kalian bebas.
  5. Usai bercerita, lepaskan giliran kepada pemain seterusnya.

 

5 SEBAB WAJIB MILIK
Baiklah. Mungkin ini boleh dikira sebagai testimoni. Seperti yang saya katakan tadi, saya membeli permainan ini kerana konsep berceritanya dan saya fikir sebagai penulis, saya memerlukannya. 5 sebab wajib milik ini saya tulis berdasarkan pengalaman:

  1. Merangsang pergerakan fikiran kreatif. Tentulah. Sebab inilah tujuan kiub-kiub ini dicipta oleh O’Connor. Melihat kiub-kiub yang tak terjangkakan, yang ‘memilih’ kalian untuk bercerita membuatkan kalian harus cepat berfikir untuk menghubungkan imejan-imejan kiub sebagai sebuah kisah. Cubalah! Kalian mungkin tak menyangka idea-idea yang bakal keluar dari fikiran sendiri. Jauh daripada ini, kita selalu lupa bahawa kreativiti juga penting dalam melakukan kerja atau menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Jadi, jika kalian sedang mencari medium, kiub-kiub ini salah satu daripadanya.
  2. Latihan pengucapan awam. Kalian pemalu? Kurang yakin diri? Mahu atasi masalah komunikasi? Ada antara ahli keluarga atau sahabat yang mempunyai masalah tersebut? Ajaklah mereka menyertai permainan ini. Sekurang-kurangnya penyelesaian bermula dengan kalian sebagai orang paling rapat. Bagi guru-guru yang cakna dengan anak-anak muridnya pula, kalian dinasihatkan agar membeli set kiub Rory’s Story Cubes Max. Ia lebih besar dan sesuai untuk aktiviti pembelajaran dalam kelas. Ia turut membantu meningkatkan kemahiran berbahasa.
  3. Alat latihan menulis. Kalian bekerja dalam bidang kreatif terutamanya sebagai seorang penulis? Tidak ada sebab untuk kalian mengelak daripada memiliki kiub-kiub ini. Sesetengah penulis selalu mengalami writer’s block. Alasannya klise: tak ada idea. Kiub-kiub ini boleh dijadikan alat memecahkan writer’s block kalian. Kalau tidak alami masalah ini pun, kalian boleh ambil masa untuk ‘memanaskan otak’ dengan lemparan kiub sebelum mula menulis. Cara ini mungkin juga mampu menembusi idea klise kalian.
  4. Terapi. Adakalanya kalian hanya mahu melepaskan segala cerita atau hanya mahu berkomunikasi dengan seseorang. Bergelak ketawa dengan kelucuan kisah sesiapa sahaja yang jujur bercerita melalui kiub, bertanyakan itu ini tentang cerita yang diperdengarkan, berasa kagum dengan idea spontan rakan sepermainan, juga boleh berkongsi idea dengan rakan-rakan penulis. Ini adalah suatu terapi melalui komunikasi dalam bentuk permainan.
  5. Tidak ada kalah-menang. Ya, permainan ini tidak ada kalah menangnya. Jadi kebarangkalian untuk bergaduh disebabkan permainan ini amat tipis. Sepanjang saya bermain kiub ini, belum pernah ada pergaduhan yang tercetus.

Harga Rory’s Story Cubes berbeza mengikut kedai. Permainan yang telah memenangi banyak anugerah ini boleh didapati di cawangan kedai buku Kinokuniya, Borders atau Lazada, 11street, Shopee.com.my, atau kalian Google sahaja “Rory’s Story Cubes Malaysia” untuk mengetahui kedai-kedai yang menjual kiub-kiub ini. Kalian juga boleh memuat turun aplikasi berbayar di Google Play atau App Store.

Aplikasi berbayar kiub Rory’s Story

Otak perlu ‘bergerak’. Selamat merangsang kreativiti!

Sayidah Mu’izzah
Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Bercita-cita untuk memiliki semua set asas Rory’s Story Cubes.

Sumber gambar: Koleksi peribadi dan Google Images

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.
Penulis dan Ilustrator.
Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Penulis dan Ilustrator. Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.