SASTERA ADALAH SASTERA TANPA KUALITI?

SESEORANG pernah menghantar WhatsApp kepada saya akan suatu petikan status Twitter yang berbahasa Inggeris daripada seseorang, kurang lebih bermaksud, “Sastera adalah sastera tanpa mengira walau apapun kualitinya.” Saya tidak pastilah sama ada apa yang dimaknakan olehnya untuk kenyataan ringkas sebegitu bagi sebuah status Twitter yang cuma membataskan 140 huruf sahaja, tetapi kenyataan apologetiknya itu sekadar memberi buah tanggung dan makan diri sahaja.

Seolah-olah, ianya akan mengesahkan lagi kenyataan-kenyataan teori Persuratan Baru yang sekian lama mewujudkan perseteruan terhadap karya sastera yang sekian lama melewati proses-proses penganalisisan pesimis terhadap karya sastera yang dianggap sebagai karya yang berasaskan hawa nafsu dan tidak bermoral. Sedangkan kita sedia maklum akan nada-nada Persuratan Baru yang sentiasa provokatif dan bertujuan membakar dunia kesusasteraan sehingga rentung bagi mengangkat gagasan persuratannya itu ke hadapan, sedangkan di dalamnya sendiri terdapat beberapa kerancuan dan kekeliruan yang saya sendiri telah menulis suatu kritikan terhadapnya dalam suatu makalah hampir 20 muka surat.

Mohd Affandi Hassan, pengasas Gagasan Persuratan Baru

Kalau karya sastera itu tidak dilihat pada kualiti, maka apa lagi nilai yang dipegang sebagai sesebuah karya sastera? Sedangkan nilai itulah yang menampung kualiti sesebuah karya sastera, di mana nilai-nilai itu memegang estetika sebagai kunci kepada lorong-lorong kesenian yang perlu dipilih bagi memilih dan menuju kepada lorong yang mana dan ingin sampai ke mana. Tinggal sahaja, nilai-nilai itu harus diperdalam dan diperinci wacananya serta tidak tersangkut kepada wacana-wacana retorik seperti, “Karya sastera adalah karya yang berkualiti” atau “Karya sastera adalah karya yang bernilai tinggi.” Wacana-wacana retorik usang sebegini yang menyekat kreativiti pengarang dalam menzahirkan nilai estetika mereka terhadap emosi dan rasional kepengarangan mereka. Dan retorik-retorik sebegitu akan menyebabkan pewacanaan sastera tidak mendasar dan mendalam.

Dan bagi saya juga, kita sudah mula tidak sekadar tersangkut pada persoalan-persoalan epistemologi yang diulang-ulang seperti “Apa itu kualiti dalam karya sastera?” Sebab akhirnya, perbincangan terawang-awang pada pandangan peribadi masing-masing yang seolah-olah sedang membincangkan sebuah epistemologi, tetapi tidak lebih daripada sekadar pandangan peribadi yang ditentukan arah oleh cita rasa masing-masing. Kita sudah mula perlu memberi fokus dan mewacanakan persoalan-persoalan yang lebih spesifik dengan melihat lebih jauh kepada hal-hal struktural yang dapat memberikan suatu kerangka yang lebih luas dan jelas dalam memaknai sesebuah karya sastera. Maka, kita sudah perlu memberi fokus dalam membincangkan persoalan-persoalan yang lebih mendasar seperti, “Bagaimana sastera itu memegang nilainya?” dan “Bagaimana wacana nilai itu meresap ke dalam inti pati karya-karya sastera?”

Apabila kita sudah mula mempersoalkan persoalan-persoalan yang menjurus kepada penggalian makna dalam sastera, kita sedang bergerak setapak ke hadapan untuk memaknai sastera sebagai suatu bentuk kewujudan yang tidak sekadar wujud dalam keghairahan emosi dan kata-kata, tetapi kita mula menyelami bagaimana karya-karya sastera itu perlu dilakar dan dibentuk. Tidak pula bermakna kita sedang mendikte karya sastera sebagai suatu bentuk yang objektif, melainkan kita memahami bagaimana nilai estetika itu perlu menampung karya sastera dalam suatu bentuk yang indah dan tinggi.

Bagi saya, nilai itu sendiri yang akan menggerak dan memaknakan karya sastera sebagai karya sastera. Apabila wacana nilai dibedah, kita akan nampak bagaimana nilai itu sendiri memberikan kualitinya kepada karya-karya sastera. Jadi, wacana-wacana sastera tidak akan sekadar tinggal sebagai wacana-wacana retorik yang akhirnya tidak membantu penulis untuk memahami dan menjiwai karya-karya yang ditulisnya sendiri. Sebab itu nilai itu perlu dibedah dan digali mutiara di dasarnya, agar mutiara itu dapat kita naikkan ke atas daratan dan kita letakkan di hujung mata pena. Semakin kita memahami makna nilai yang kita bina; semakin kita menyedari bagaimana nilai itu dihubungkan dengan dunia estetika; semakin kita dapat lihat bagaimana nilai itu hidup sebagai kualiti dalam dunia sastera.

Tinggal sahaja, dan ianya adalah sesuatu yang perlu saya tegaskan di sini: Apabila membicarakan persoalan nilai, janganlah kita tersangkut bahawa nilai yang dimaksudkan itu adalah nilai-nilai moral. Karya-karya sastera yang masih tersangkut pada nilai-nilai moral cumalah sekadar menjadikan karya sastera itu mengajar-ajar pembaca, tetapi bagaimana karya sastera itu dapat menyelami hidup seseorang yang, contohnya, sepanjang hidupnya berada dalam kesendirian dan tidak pernah menemui sesiapa di dunia? Lantas apakah seseorang yang kesunyian hidupnya itu mampu mengerti akan pemaknaan nilai-nilai moral sedangkan hubungannya adalah terputus dengan manusia dan alam, melainkan hubungannya cumalah dengan diri sendirinya jua?

Sengaja saya mendatangkan persoalan absurd sebegitu sebagai suatu ketidaksetujuan saya terhadap sebilangan orang yang memandang bahawa nilai sastera itu terhenti pada persoalan-persoalan moral, yang mana moral itu cumalah sebahagian daripada nilai hidup manusia, tetapi tidak semua manusia itu adalah diikat dengan tanggungjawab moral dalam hidupnya seperti contoh yang saya datangkan sebentar tadi. Sastera akan terus meruntuh jika perbincangan nilai yang saya bincangkan dalam tulisan ini tersangkut hanya kepada nilai-nilai moral semata-mata.

Perbincangan mengenai hubungan nilai, moral, dan sastera itu adalah suatu perbincangan yang menarik. Mungkin saya akan bincangkannya dalam suatu tulisan yang lain pula nanti.

Sumber gambar: Google Images

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.