5 KRITERIA MEMILIH BUKU BERKUALITI

KITA cuma ada RM100, tetapi buku apa yang kita mahu beli? Kita ada 365 buah buku untuk dibaca (jika 1 hari = 1 buah buku), tetapi berapa banyak hari kita berasa kecewa dengan buku yang kita baca?

Pernah beli buku dan akhirnya tak habis baca, malah diletakkan pula dalam tong kitar semula? Pernah pilih buku hanya disebabkan judulnya yang menarik, tetapi akhirnya kecewa dengan pengisian buku tersebut? Apatah lagi memilih buku hanya disebabkan kawan yang cadangkan?

Sememangnya memilih buku yang berkualiti itu amatlah sukar. Ada pula yang kata, buku berkualiti itu kan subjektif? Terserah kepada selera masing-masinglah buku yang bagaimana yang berkualiti buat dirinya. Ya, mungkin betul. Tetapi, bagaimana pula kalau ia salah?

Berikut saya kongsikan lima kriteria utama yang boleh kita lihat ketika memilih buku yang berkualiti:

  1. Bahasa
    Penggunaan bahasa dan pemilihan perkataan dengan baik sangat membantu proses pembacaan sesuai dengan sasaran pembaca. Penulis mahu pembaca turut merasai denyutan (idea, emosi, roh dan sebagainya) karya mereka, jadi bahasa yang bercampur baur dan tunggang-langgang menyukarkan pembaca merasai denyutan tersebut malah mengganggu kelancaran pembacaan.
  2. Isi
    Pembaca tidak suka berasa diperbodohkan. Setiap buku yang dibeli, sekiranya isi yang ditampilkan dapat memberi sesuatu pengetahuan atau ilmu tambah yang baru, tidak mengulang isi-isi lama, punya perkembangan fikiran, pastinya ia akan dimanfaatkan. Jika nilai yang diberi sesuai dengan harga buku, pembaca tidak teragak-agak untuk melakukan pelaburan ilmu.
  3. Penulis
    Penulis yang sudah menempa nama selalunya sudah tidak sukar menggapai sasaran pembacanya asalkan penulis tersebut masih mengekalkan kualiti dan tidak hanyut dengan penulisan yang masih begitu-begitu saja. Stereotaip. Klise. Penulis baru pula harus bekerja lebih keras untuk menawan hati pembaca. Penulis lama atau baru, konsisten menjaga kualiti penulisan akan membuatkan tingkat percaya pembaca tidak akan menurun.
  4. Penerbit
    Penerbit memainkan peranan yang besar dalam memastikan pembaca mendapat pilihan bacaan yang bagus dan berkualiti. Penerbit yang menjaga kualiti penerbitannya (pemilihan penulis, pemilihan karya, kualiti suntingan, dll) akan menjadi penanda aras kepada pembaca ketika memilih buku yang diingini.
  5. Cetakan
    Walaupun penerbit mempunyai beratus atau beribu penulis yang bagus (juga mempunyai pengikut yang sangat ramai), tetapi sekiranya tidak menyantuni sesebuah buku dengan sebaiknya, adakah boleh dianggap buku yang diterbitkan sebagai buku yang berkualiti? Kebanyakan buku yang sedang beredar di pasaran sekarang selalunya memandang remeh hal ini. Susun atur dan reka letak yang menyakitkan mata, sampul kulit yang tidak kemas, suntingan yang langsung tidak dititik beratkan, kualiti cetakan warna yang pudar dan pelbagai lagi. Kualiti penerbitan dan percetakan yang baik akan membuatkan pembaca tidak ‘teraniaya’ dan berasa berbaloi membeli buku tersebut.

Baik. Secara ringkas, itu lima perkara menurut pandangan saya sebagai seorang pembaca. Sekiranya anda mempunyai pandangan yang bertentangan ataupun turut bersetuju dengan saya, silakan komen supaya kita sama-sama mendapat manfaat daripada tulisan kali ini.

Selamat memilih buku!

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

4 Comments

  1. Iz zunairah
    2 July 2017

    Suka no. 2 tu

    1. Hafiz Latiff
      2 July 2017

      Terima kasih sudi membaca, Iz Zunairah.

  2. Sakhtianaaqee
    10 July 2017

    Sangat-sangat membantu bila tengah buntu nak pilih buku-buku yang bagus, lebih-lebih lagi daripada penerbitan alternatif. Terima kasih LOH untuk karya-karya yang bagus dan imej penerbitan yang sopan dalam menikam, terima kasih sebab mudahkan kajian Ena untuk mengupas isu-isu yang diketengahkan dalam tulisan-tulisan pilihan Ena āœŒšŸ˜€

    1. Hafiz Latiff
      12 July 2017

      Terima kasih, Ena kerana sudi membaca tulisan kecil ini. Moga memberi manfaat. Insya-Allah, kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti penerbitan juga mutu karya yang diterbitkan. Teruskan sokongan ya.

Comments are closed.