PUISI ADALAH TEMPAT MEREHATKAN LOGIK

KETIKA membaca sesebuah puisi, ramai orang melihat bahawa puisi itu adalah seperti seorang sarjana yang bermain dengan simbol-simbol yang memuntahkan logik-logik dunia ke dalam simbol-simbol yang tidak logik. Lalu masing-masing pun berbondong-bondong bertemankan secangkir kopi di atas meja (mungkin), lalu membuka sebuah buku puisi (contohnya buku puisi yang dibaca adalah Sungai Mekong karangan Latiff Mohidin; Sihir Hujan buah tangan Sapardi; mahupun Katarsis hasil larutan Zaen Kasturi) dan membacanya santak ke pagi. Pembacaan itu menyebabkan dahi berkerut seribu kerana betapa alegori masing-masing adakala terlalu peribadi atau maksudnya adalah terlalu rahsia dan disimpangkan fungsinya daripada kebiasaan simbolisme yang digunakan oleh para penyair dalam puisi-puisinya.

Masing-masing pun cuba mentakwil puisi-puisi tersebut dengan satu pemaknaan yang logika dengan mencantum-cantum konteks-konteks kehidupan tertentu sehingga puisi yang gila telah diwaraskan semua. Pentakwilan itu tidak ubah seperti pentakwilan dalam mazhab ilmu kalam yang mentakwilkan ayat-ayat yang memiliki kekaburan makna daripada teks-teks suci (ayat mutasyabihat) kepada satu makna dan penjelasan yang lebih jelas dan logik diterima dalam akal manusia bagi memahami hal-hal ketuhanan yang terlalu kabur dalam fikiran manusia. Hinggalah akhirnya, puisi sebagai suatu hasil seni telah dirogol berkali-kali sehingga nilai kesenian itu telah hilang daranya sehingga ia telah bertukar menjadi sebuah hasil kesarjanaan.

Fenomena ini mengingatkan saya bahawa Heidegger pernah mengingatkan bahawa kerja seni itu hanya dapat diketahui hanya daripada sifat seni itu sendiri, tetapi ramai orang melihat bahawa kita sedang bergerak dalam sebuah lingkaran, dan kefahaman orang biasa menginginkan bahawa lingkaran ini dihancurkan kerana ianya telah melanggar logik. Lingkaran kesenian yang penuh dengan ketidaklogikan ini apabila bertemu dengan seorang sarjana, maka ianya berhadapan dengan dua kemungkinan nasib: (1) Karya tersebut akan ditakwil dengan selogik-logiknya; (2) Karya tersebut akan dibakulsampahkan dan penyairnya dilabel dengan macam-macam tuduhan.

Martin Heidegger

Sesebuah karya puisi itu mula menghadapi kegagalannya apabila ketidakwarasan alegorinya mula ditakwilkan dengan sesuatu yang lebih diterima akal, bukannya dengan memasuki alam kegilaan penyair itu dalam puisi-puisinya dan bersama-sama dengannya untuk berlari-larian di taman ciptaannya itu. Mungkin sesebuah puisi itu akan lebih memberi makna apabila menghadapi dunia logikanya, tetapi ianya tidak lagi menjadi sebuah karya seni melainkan telah menjadi sebuah karya kesarjanaan jua.

Puisi sepatutnya adalah sebuah tempat untuk merehatkan logik. Manusia telah terlalu tenat oleh logik-logik kehidupan yang penuh dengan kekusutan, maka puisi itu dicipta untuk berehat sebentar daripada semua kekusutan itu dan menciptakan dunia sendiri sebagai sebuah ruang kerehatan. Ketika memasuki rumah puisi, logik-logik adalah umpama selipar-selipar yang penuh dengan kekotoran dunia yang perlu ditinggalkan di luar rumah, dan yang hanya perlu dibawa hanyalah jiwa dan rasa untuk menyelami isi-isi rumah tersebut dengan suatu pandangan kesenian.

Dan kesenian itu hanya dapat difahami dan menemui logikanya apabila ianya ditafsirkan dengan jiwa dan rasa yang menyelaminya seperti menyelam ke dalam sebuah kolam lalu berenang-renang di dalamnya bersama dunia penyair yang diciptakan di dalam puisi-puisinya. Adakala penyelaman puisi itu tidak memerlukan sebuah ulasan dan tafsiran. Yang cuma diperlukan adalah memaknai puisi itu dengan kesendirian dan kesunyian. Malang sekali sekiranya puisi telah dijadikan alat-alat jihad untuk membangunkan kesedaran masyarakat ataupun difikirkan hidup jika logikanya mencapai ke dalam akal manusia. Puisi akan hidup sekiranya terus dibincangkan manusia, ya, itu diakui. Tetapi puisi juga akan mati sekiranya manusia terus membincangkannya dengan kesarjanaan. Kerana pada ketika itu yang hidup cumalah tafsiran-tafsiran, tetapi kesenian puisi itu sebenarnya telah lama mati.

Seni sebuah puisi yang tidak disantuni dengan jiwa yang seni, maka seni itu akan terhapus dan logik akal sentiasa bermain dengan hujah dan retorika yang sentiasa diputarbelitkan demi mencapai logika yang diingini. Jika puisi pun hendak diperhujahkan, maka petanda ketamadunan manusia sedang mencapai penghujung hayatnya.

Sumber gambar: Google Images

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

4 Comments

  1. siri kaba
    6 July 2017

    Assalamualaikum wr. wbt.

    Sebagai satu maklum balas, pertanyaan saya:

    1. Apa definisi logik kepada sdr. Muziru?
    2. Apa definisi puisi kepada sdr. Muziru?
    3. Apa definisi seni kepada sdr. Muziru?
    4. Apa yang dimaksudkan dengan kewarasan dan ketakwarasan?
    5. Apa yang dimaksudkan dengan alegori dalam puisi?
    6. Apa yang dimaksudkan logika dalam seni?
    7. Apa yang dimaksudkan dengan seni dalam logika?
    8. Pernah tahu tentang logika formal dan logika tak formal?

    Maka, esei ini membicarakan mana satu daripada salah satu daripada tersenarai ini?

    1. Beberapa perenggan awal tidak ada kesinambungan hujahan dengan beberapa perenggan akhir.
    2. Contoh-contoh yang digunakan sebagai rujukan tentang persoalan logika bersifat sangat longgar dan tidak tepat (malah tidak ada contoh konkrit).
    3. Logik tidak membawa kepada kekusutan. Malah ia memimpin kepada kaedah pemikiran, kecualilah orang yang tidak menguasai ilmu logik , barangkali terlalu kusut untuk mencari definisi sebenar tentang logik itu sendiri.
    4. Kewarasan dibangunkan oleh kesedaran (consciousness?). Kesedaran untuk menjadi waras itu pula ditandai dengan ciri-ciri logiknya yang tersendiri.

    Wassalam,
    sk

  2. […] bersetuju dengan Ahmad Muziru yang selipar-selipar logika perlu ditinggalkan di pintu ini. Namun bukan selipar logika seluruhnya – akan tetapi logika empirikal, logik diskursif serta […]

  3. siri kaba
    14 July 2017

    Alangkah baik jika segala logika yang perlu ditinggalkan itu diberi hujahan berserta contoh, supaya dapat membicarakan pernyataaan berdasarkan definisi dan pemahaman yang hampir (tidak) sepakat, kalau pun tidak sama tingkat. Yang dimaksudkan dengan elemen logika empirikal dalam puisi itu apa, yang bagaimana? Sifat logika yang diskursif itu apa bentuk dan gayanya> Mengapa ia perlu dtanggalkan daripada makna kata (dalam puisi)?

    Pengertian yang tidak jelas tujuannya, dengan perkataan yang diambil-guna sekadar membentuk “pernyataan besar” akan membuat hujahan jadi longgar dan tak memberi faham yang sepatutnya.

    ~sk

  4. siri kaba
    14 July 2017

    Minta maaf, respons di atas adalah terhadap esei asal, Puisi Adalah Tempat Merehatkan Logika.

    Untuk esei balas dari NHF di Dailyseni, tulisannya sangat baik; dengan pengertian yang enak untuk dihadam dan memberi pemahaman kukuh kenapa logika itu tidak harus (sewenang-wenangnya) direhatkan dalam puisi (atau karya sastera yang lain).

    ~sk

Comments are closed.