THE HERO’S JOURNEY: SELAMAT DATANG KE TEMBOLOK PAUS (Bahagian 1)

SUARA Regina Spektor menyanyikan The Call menyapa telinga saya sewaktu saya mencari idea penulisan untuk laman ini. Lalu lagu runut bunyi itu membawa saya mengingati semua siri filem Narnia terutamanya Prince Caspian. Dan saya mengingati kelas Penulisan Filem dan TV, sebuah kelas yang istimewa beberapa tahun lalu bagi saya kerana sepanjang semester, saya satu-satunya pelajar dalam kelas di bawah seliaan Encik Al-Jafree Yusop. Dan, seperti kebanyakan kelas di ASWARA, seluruh tubuh dan roh begitu berfungsi kerana buku yang dicadangkan adalah buku-buku terbaik, bukan kerana harus menjadi buku teks. Tetapi buku terbaik yang harus kita baca.

Salah sebuah buku yang dicadangkan oleh Encik Jef ialah The Hero With A Thousand Faces oleh Joseph Campbell. Dan ia berkait rapat dengan teori The Hero’s Journey yang ketika itu sedang kami bincangkan. Dan saya mencerakinkan Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe (Narnia) menggunakan teori ini. Sebuah teori yang diaplikasi oleh kebanyakan penulis lakon layar, dan jangan bimbang, kalian sebagai penulis cereka (cerpen dan novel) juga boleh menggunakan kerangka teori ini. Malah boleh melanggarnya jika sudah faham dan tahu apa yang mahu dilanggar.

BAHAGIAN 1: DEPARTURE | KEBERANGKATAN

ORDINARY WORLD | DUNIA RUTIN

Ia sebuah dunia biasa tidak kira watak duduk di planet apa sekalipun. Joseph Campbell mengambil contoh The Princess and The Frog. Ya, kisah puteri yang mencium kodok itu. Ia bermula di istana dan puteri kecil telah bermain di laman seperti biasanya kehidupan anak raja. Kalau kalian menonton Narnia, dunia biasa 4 beradik Pevensie adalah rumah mereka. It is ordinary. Kehidupan biasa. Seperti kalian bangun pagi, mandi, kemudian pergi kerja, atau belajar, ya, kehidupan manusia yang rutin. Atau kehidupan rutin watak tertentu dalam dunia biasa watak tersebut. Contohnya, perkampungan Hobbit adalah dunia rutin Hobbit.

CALL TO ADVENTURE | PANGGILAN KEMBARA

Ia sebuah ‘panggilan’. Atau lebih mudah, penyebab kepada sebuah pengembaraan. Dalam buku The Hero With A Thousand Faces, Campbell menyatakan bahawa kemunculan katak kerana bola emas puteri telah masuk ke dalam kolam merupakan sebuah ‘call to adventure’. Kenapa bukan bola emas menjadi sebuah ‘panggilan’? Sebab bola emas itu boleh tenggelam begitu sahaja tanpa keinginan untuk puteri mendapatkannya kembali. Raja juga mampu untuk mengadakan sebiji lagi bola yang serupa.

Mungkin satu hal yang harus kita ingat juga bahawa cerita digerakkan oleh watak. Tanpa watak, tak ada peristiwa. Seperti filem Narnia, ‘call to adventure’ kisah ini adalah pertemuan Lucy dengan Mr. Tumnus. Almari seperti alatnya bola emas puteri. Lucy boleh sahaja kembali ke rumah Prof. Kirke tanpa menikmati keindahan Narnia. Tetapi dia mempunyai masa untuk memerhatikan kawasan di sekitar ‘lamp post’ yang asalnya dari dunia manusia itu.

REFUSAL OF THE CALL | KEENGGANAN

Ini waktu ragu-ragu, atau penolakan dalam diri watak. Sebagai contoh, dia ragu-ragu untuk meneruskan kembara mungkin kerana keluarga yang tersayang. Atau rasa takut, contoh adik-beradik Pevensie yang ketakutan ketika melihat rumah Mr. Tumnus yang teruk dikerjakan askar White Witch. Mereka mahu kembali ke dunia asal. Atau seperti watak Mr. Baggins yang menolak untuk menyertai pengembaraan pada awalnya, dalam The Hobbit. Ia merupakan faktor ‘external’ atau/dan ‘internal’ psikologi sesuatu watak.

MEETING WITH THE MENTOR | SUSUK GURU

Kebiasaannya, watak mentor merupakan watak orang tua dan lebih berpengalaman. Seperti Frodo dalam Lord of the Ring, mewarisi mentor Bilbo yakni Gandalf. Ini orang yang akan menasihati watak. Atau membimbing mereka sepanjang perjalanan. Narnia menampilkan seekor memerang sebagai mentor iaitu Mr. Beaver dengan kebolehan berkata-kata dan pakar dengan ‘prophecy’.

CROSSING THE FIRST TRESHOLD | GAPURA PERTAMA

Dalam waktu meragui, takut dan menolak, apakah watak akan menerima nasihat atau bimbingan mentor dengan mudah? Tidak mungkin dia akan menyerap segala kata orang. Penolakan dalam diri watak amatlah kuat. Maka, harus ada suatu sebab yang kuat juga untuk dia memilih pengembaraan berbanding tetap pada rutinnya.

Filem Narnia jelas menunjukkan sebab musabab yang kuat untuk watak meneruskan pengembaraan yakni kehilangan Edmund yang telah pun meninggalkan adik beradiknya menuju ke istana White Witch. Sihir White Witch melalui Turkish Delight yang dimakan oleh Edmund telah membawanya menjadi seorang pembelot. Maka, untuk menyelamatkan  Edmund, adik beradiknya yakni Peter, Susan dan Lucy harus tetap meneruskan perjalanan menuju Aslan.

Crossing the first treshold juga dikenali sebagai The First Plot Point atau The First Turning Point. Ia merupakan garisan halus antara (dari) dunia rutin dan (ke) dunia kembara. Campbell memanggil dunia kembara sebagai The Belly of the Whale kerana beliau melihat hero telah ditelan ke dalam sebuah dunia yang memungkinkan kematian atau kemusnahannya. Jadi selamat datang ke Tembolok Paus, dunia seorang hero menghadapi dugaan, godaan, musuh, sahabat dan dirinya sendiri.

Bersambung.

Jumpa dalam Tembolok Paus nanti!

Kalau ditelan paus, harap sampai Narnia.
Tapi macam mustahil.
Jadi baca doa Nabi Yunus.
Harap selamat.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.
Penulis dan Ilustrator.
Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Penulis dan Ilustrator. Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

1 Comment

  1. […] of the Whale’. Dan Joseph Campbell  yang telah saya perkenalkan dalam tulisan saya di sini: Bahagian 1, memberikan beberapa contoh tragedi ditelan ini seperti, The Little Red Ridinghood ditelan […]

Comments are closed.