SINEMA DAN BENDA ANEH BERNAMA APRESIASI

KITA DAN SINEMA

Suasana gelap dengan kerusi empuk dan bertih jagung karamel rangup membawa kita ke satu dunia berbeza; dunia penontonan di panggung wayang gambar (pawagam).

Sedari kecil kita didedahkan dengan sinema dan penontonan filem cereka mahupun animasi pelbagai genre.

Setiap generasi pasti mempunyai nostalgia untuk digamit apabila berbicara perihal pengalaman penontonan.

Terdapat seribu satu faktor mengapa audiens berkunjung ke pawagam untuk menonton. Ada yang teruja untuk melihat pelakon kegemaran, ada yang meminati jalan cerita dan mungkin ada juga yang sekadar mengisi masa lapang sambil menikmati bertih jagung semasa blind date pertama di Berjaya Times Square.

Tulisan ini semestinya tidak akan membicarakan tentang bertih jagung pawagam mana yang lebih sedap, mahupun mempersoalkan mengapa kebanyakan poster filem tempatan banyak gambar pelakon?

Sebaliknya, akan membawa ktia semua berkenalan dengan benda aneh bernama Apresiasi.

Dalam konteks ini, Apresiasi Filem.

BENDA ANEH BERNAMA APRESIASI

Apresiasi dalam bahasa mudahnya adalah penghargaan terhadap sesuatu. Apresiasi terhadap filem yang ditonton pula adalah penghargaan kita sebagai penonton mendidik diri untuk meletakkan tanggungjawab terhadap penontonan sesebuah filem. Memberi komentar, berkongsi keterujaan menonton dan membuat kritikan filem bagi yang mempunyai kemahiran kritis tersebut.

Apresiasi penonton terhadap filem yang ditonton mempunyai nilai yang tersendiri bagi seluruh warga pengkarya filem tersebut. Pengkarya filem memerlukan dapatan daripada penonton untuk menghasilkan karya yang lebih bagus. Dapatan-dapatan ini juga penting untuk membantu aspek pemasaran selagi tayangan masih berlangsung.

Untuk memberi apresiasi terhadap penontonan filem, kita tidak semestinya perlu menghadiri bengkel khusus atau menjadi pelajar sepenuh masa di Fakulti Filem dan Televisyen. Berikut merupakan beberapa langkah awal dalam memupuk kesedaran peri pentingnya apresiasi terhadap filem;

Related image

  1. Tonton di pawagam atau buat langganan berbayar: Kutipan tiket adalah nadi berjaya atau tidak sesebuah filem. Bagi kita, filem mungkin adalah wadah untuk mengisi masa lapang. Tetapi tidak bagi pengkarya filem. Penerbit ada tunggakan penggambaran yang perlu dibayar, penulis, pengarah dan kru juga ada bil-bil yang harus dilangsaikan. Berilah apresiasi dengan menonton di pawagam atau langgan siaran secara sah. Related image
  2. Katakan tidak pada Cetak Rompak dan Perkongsian Haram: Selain dadah dah rasuah, cetak rompak juga merupakan musuh negara. Dalam dunia digital yang serba canggih, ramai yang berkemahiran untuk ‘menyedut’ secara tidak sah. Kemudian dikongsi secara terbuka di media sosial. Menangis air mata darah pengarah, pelakon dan mamat gaffer tengok pautan ‘full movie’ yang dikongsi oleh rakan Facebook mereka. Wahai pengguna media sosial sekalian, ketahuilah perbuatan anda berkongsi pautan ‘full movie’ itu adalah sama sekali tidak beretika. Lebih menyakitkan, membaca komen di pautan tersebut yang berbunyi seakan-akan, “Bagus betul cerita ni. Pengarahan terbaik. Bangga aku jadi anak Malaysia. Download jap ah!”
  3. Baca sebelum tonton: Bacalah, sekurang-kurangnya resensi yang ditulis rakan yang sudah menonton mahupun resensi yang dikongsi wartawan dalam kolum akhbar mingguan. Jadi penonton yang cakna terhadap jalan cerita dan latar belakang supaya kita tidak sekadar ternganga dan kunyah bertih jagung semata. Cuba langkah ini, penontonan anda selepas ini pasti berbeza.
  4. Hadirkan diri ke tayangan Filem dan Apresiasi: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional acapkali bekerjasama dengan Universiti Awam mahupun institusi swasta dalam menganjurkan tayangan dan diskusi. Sertai dan lihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana filem yang kita tonton dalam sudut pandang berbeza dengan pelbagai pihak yang menonton bersama. Ya, kebanyakan sesi tayangan adalah percuma. Kalau nasib baik, jamuan bihun goreng turut disediakan. Image result for movie spoiler meme
  5. Sertai komuniti filem online: Ada banyak komuniti seumpamanya. Di sini, kita boleh berinteraksi dan berdiskusi apa saja tentang filem. Paling penting, jangan sesekali jadi perosak atau spoiler yang menceritakan segala apa yang terjadi dalam filem yang kita tonton di pawagam.

Apresiasi sebenarnya bukanlah benda yang aneh. Pupuklah diri menjadi audiens yang mempunyai apresiasi terhadap apa yang kita tonton. Apa yang terpancar di atas layar putih, di ruang gelap itu pasti dapat dibaca dengan lebih bermakna dan memberi nilai tambah kepada kehidupan kita sebelum, semasa dan selepas penontonan!

Sumber gambar: Google Images

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.