MEMBANGUNKAN RUMAH PENERBITAN

SEHINGGA Jun 2017, sebanyak 206 buah syarikat penerbitan yang berdaftar sebagai ahli di Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA). Kiraan sasar saya, sekiranya termasuk dengan para penerbit yang tidak berdaftar sebagai ahli, mungkin saja lebih kurang 250-350 buah syarikat penerbitan yang wujud dan masih aktif di Malaysia.

Begitu banyak sekali rumah penerbitan yang pastinya menawarkan kepelbagaian dalam hidangan bahan bacaan buat kita semua. Tetapi, bagaimana mereka memulakan dan seterusnya membangunkan rumah penerbitan? Siapakah yang berada di belakang tabir ketika proses menyiapkan buku-buku yang beredar di pasaran?

Anda mahu tahu? Jom kita berkenalan dengan beberapa watak yang menjadi tunjang utama dalam pembinaan sesebuah rumah penerbitan.

  1. Penulis

Sebuah rumah penerbitan tidak akan berfungsi menjadi penerbit sekiranya tidak wujud para penulis yang menghantar manuskrip kepada mereka. Betul? Jadi, sebagai penulis, peranan anda sebenarnya sangat besar dalam memastikan para penerbit tidak putus bekalan karya untuk diterbitkan. Pastikan anda menghantar karya ke rumah penerbitan yang bersesuaian dengan manuskrip yang anda usahakan. Bagaimana caranya? Pertama, anda boleh rujuk maklumat penerbitan yang lazimnya disediakan oleh rumah penerbitan. Kedua, anda harus beli dan baca buku-buku terbitan rumah penerbitan tersebut untuk lebih mengenali gaya penerbitannya.

  1. Editor/Pembaca Pruf

Setiap rumah penerbitan sepatutnya wajib mempunyai seorang editor dan seorang pembaca pruf demi memastikan kualiti suntingan dan segala hal teknikal diperkemas sebelum karya diterbitkan. Walau bagaimanapun, editor harus memikul tanggungjawab sebaiknya. Jika tidak, karya tersebut sama ada akan lebih teruk atau langsung tidak disunting. Alangkah sayangnya jika karya yang baik diakhiri dengan kualiti suntingan yang mengecewakan.

  1. Pereka letak/Pereka bentuk kulit buku

Setiap rumah penerbitan mempunyai gaya persembahan tersendiri. Pereka letak dan pereka bentuk kulit buku harus bekerjasama rapat dengan editor/pembaca pruf juga penulis ketika proses penerbitan. Ini memungkinkan setiap idea diterjemahkan dengan baik, seterusnya memberikan persembahan yang terbaik kepada pembaca.

  1. Pencetak

Setelah semua proses akhir sudah siap dan memenuhi kriteria penerbitan yang diingini, barulah karya tersebut dihantar kepada pencetak. Kualiti percetakan juga, seperti potongan buku, ketepatan gred warna, jenis kertas dan sebagainya, memastikan persembahan yang diingini oleh penerbit memenuhi selera sasaran pasaran mereka. Pencetak yang boleh mematuhi jangkaan masa penerbit juga secara tidak langsung membantu sesebuah buku untuk berada di pasaran dengan lebih cepat.

  1. Pasukan Jualan & Pemasaran

Jangka hayat sesebuah buku setidak-tidaknya harus berada dan mampu mencapai khalayaknya dalam tempoh 6 bulan pertama diterbitkan. Inilah tempoh waktu yang pasukan jualan dan pemasaran seharusnya bersungguh-sungguh memastikan buku tersebut terjual dan laku keras.

  1. Pengedar

Sekiranya sesebuah rumah penerbitan berhasrat untuk meluaskan pasaran, tetapi mempunyai kekangan daripada segi tenaga buruh dan hal-hal lain berkaitan jualan (sebagai contoh), penerbit boleh pertimbangkan untuk menggunakan para pengedar untuk mengedarkan buku-buku terbitan mereka ke seluruh Malaysia melalui rangkaian perniagaan sedia ada seperti MPH, Popular, Kinokuniya, Borders dan lain-lain. Kebanyakan kedai buku ini juga lebih gemar berurusan melalui pengedar.

  1. Penasihat Perundangan

Penerbit berurusan dengan penulis, pengedar dan banyak lagi pihak lain sepanjang menjadi pemain industri. Penasihat perundangan akan membantu dalam urusan penyediaan kontrak perjanjian sesuai dengan perbincangan antara kedua-dua belah pihak. Ini memastikan tiada hal yang tidak diingini berlaku, seterusnya membuatkan masing-masing pihak saling bertelagah dan merencatkan perkembangan industri.

  1. Pembaca

Ya, kita. Sebagai pembaca, kita juga merupakan watak utama dalam pembangunan sesebuah rumah penerbitan. Apalah gunanya jika bahan bacaan banyak diterbitkan tetapi tidak mempunyai pembaca seperti kita, kan? Setiap jenis buku akan menemui jenis pemiliknya.

Sebenarnya ada banyak hal lagi yang dititikberatkan dalam membangunkan rumah penerbitan. Semua yang di atas adalah asas yang utama. Mana mungkin saya mampu rungkaikan kesemuanya dalam catatan kali ini. Insya-Allah, akan saya kongsikan di kesempatan yang lain pula.

Sumber gambar: Google Images

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

2 Comments

  1. sakhtianaaqee
    22 July 2017

    Salam abg Hafiz ✌
    Good writing! Kudos πŸ‘

    Pada pendapat Hafiz, kenapa ada penerbit yang tidak berdaftar dengan MABOPA?

    Apa kelebihan yang penerbit dapat dengan mendaftar sebagai ahli MABOPA?

    Minta maaf kalau Ena tersalah tanya ya, LOH ialah sebuah rumah penerbitan alternatif atau perdana? Ena kira alternatif sebab LOH terbitkan zine jugak selain genre sastera yang lain.

    Terima kasih! πŸ˜€

    1. Hafiz Latiff
      23 July 2017

      Waalaikumussalam.

      Terima kasih, Ena kerana sudi membaca dan bertanya.

      Ada penerbit yang tidak berdaftar dengan MABOPA berkemungkinan juga:
      1) Turut tidak mendaftarkan perniagaan di SSM (ada rakan penerbit yang secara kolektif, usaha sesama sendiri, tidak mendaftar syarikat)
      2) Kekangan kewangan di peringkat permulaan
      3) Prinsip (selalunya tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak, mahu bebas)

      Apapun, pilihan masing-masing. Tidak wajib pun sebenarnya. Cuma, jika mahu tahu lebih lanjut kelebihan menjadi ahli MABOPA, boleh rujuk di laman web MABOPA.

      Kami di Legasi Oakheart dan Kuras Buku tidak pernah meletakkan diri sebagai penerbit alternatif mahupun arus perdana. Gerak kerja dilakukan secara ‘independent’ (setakat ini kami tidak mendapat dana daripada mana-mana pihak, baik kerajaan mahupun swasta). Segala hasil pendapatan digunakan untuk mengurus syarikat seperti seadanya.

Comments are closed.