SENI DI MEJA KESENIAN; SARJANA DI JUBAH KESARJANAAN

1. Ketika membaca sesebuah buku puisi, sebenarnya kita telah menyusup masuk ke sebuah dunia yang lain, di mana dunia itu adalah ruang pertemuan istimewa antara pembaca dan penulisnya. Menulis puisi (apatah lagi membukukannya) tidak ubah seperti seorang manusia yang membiarkan manusia yang lain membaca diari peribadinya, dan itu adalah satu tindakan paling berani seorang penyair apabila membuat keputusan untuk menulis puisi.

Puisi adalah sebuah kamar kecil dalam rumah agam kesenian. Kesenian membangunkan jiwa yang sedang tidur, dan ianya terjaga bukan untuk membaca wajah dunia, tetapi untuk menjadi diri dunia itu sendiri. Kerja-kerja membaca dunia bukanlah kerja seni. Itu adalah kerja-kerja sarjana.

2. Apabila seorang penyair mulai membacakan puisinya, tiba-tiba datang seorang sarjana mengatakannya gila kerana penyair itu membaca puisi sambil menghisap candu ataupun berpakaian bagai gelandangan, ternyata kita mulai sedar bahawa sarjana sedang menghukum penyair itu dengan logiknya ataupun meminta penyair itu mengikuti logik yang didefinisikannya.

Bayangkan ketika penyair menulis puisi untuk melepaskan diri daripada logika peribadinya, datang sarjana menggertak dengan meminta definisi yang bukan-bukan dan memaksakan penyair untuk berdefinisi dengan gaya kesarjanaannya, tidakkah ini kegilaan sebenar yang telah mengherot masuk ke dalam dunia kesenian – apabila skema-skema penilaian objektif dibawa masuk ke dalam?

3. Seni tidak bermain dengan definisi-definisi keilmiahan. Seni tidak berjalan untuk mencari hujah dan perdebatan. Seni memerlukan polemiknya, tetapi polemik cumalah gendangan di luar pintu untuk orang lain menjenguk apa yang sedang berlaku sebelum mempersilakan masuk ke rumah seni dengan menanggalkan selipar logika terlebih dahulu. Wilayah kesenian adalah wilayah manusia merasai diri sendiri; wilayah seorang penyair menyedari bahawa dirinya sebenarnya sedang berada di alam kewujudan.

4. Seni lahir daripada diri sendiri yang sentiasa berjalan mencari maknanya daripada alam (ke’alam’an & peng’alam’an) dan proses itu adalah suatu proses yang berterusan. Kealaman membawa T. Alias Taib mengarang kehidupan, dan pengalaman menjadikan Chairil Anwar keras menerjang kekecewaan. Alam tidak pernah buntu menyediakan sarapan di atas meja kesenian, dan penyair menikmatinya dengan secangkir kopi yang menguntumkan ilham.

5. Seorang seniman adalah seorang Santiago dalam mimpi-mimpi Paulo Coelho yang melalui pengembaraan panjang hasil tafsiran seorang wanita ke atas mimpinya, dan dia meyakini mimpinya itulah realiti masa hadapannya, lalu dia terus berjalan mencari makna dirinya dan bertanya-tanya kepada alam akan erti-erti hidupnya. Seniman tidak akan pernah berhenti bermimpi kerana mimpi adalah realiti seorang seniman sebelum dia terjaga dan mendapati segala-gala di sekelilingnya cumalah kepalsuan.

6. Pastinya janggal sekali apabila dunia seni dan dunia sarjana dihimpunkan sekali. Tidaklah bermakna seni dan sarjana tidak mampu semeja bersama. Tetapi apabila penilaian seni dikhutbahkan sarjana, terasa tempangnya yang mana sama tempang jika dunia sarjana pula dibacakan kalam-kalam seni padanya. Tetapi sentiasa sekali, pengetahuan itu sering dianggap milik sarjana, dan ahli seni dibaca sebagai dunia yang penuh dengan khayalan. Sarjana akan sentiasa berpuas hati apabila khayalan itu mematuhi etika logik kesarjanaannya kerana menerima kebenaran itu adalah mesti melalui laluannya.

7. Saya tidak pesimis dengan sarjana. Tetapi seorang sarjana yang ahli hukum sifatnya akan sentiasa menjadi seorang algojo – melihat dunia sebagai tempat sembelihan manusia dan menunggu masa untuk menyembelih seni yang tidak mahu mengikut definisi keseniannya. Berbeza sekali dengan sarjana yang ahli hikmah rupanya yang sentiasa memandang dunia daripada atas helikopter – memandang ke bawah dengan melihat dunia sebagai rumah yang berwarna-warni dan memandang kesenian sebagai sebahagian daripada bahasa kehidupan yang perlu difahami.

8. Kesenian tidak hidup di tengah-tengah logika hujah. Kematian seni bermula apabila logika realiti disusup ke dalamnya lalu menjadi kanser yang meracuni sistem badan seni yang sedia ada sihat sejahtera. Dan kesarjanaan sentiasa berurusan dengan logika untuk mencantum realiti-realiti yang terpisah menjadi wujud realiti yang  difahami akal mahupun indera. Pasti kesarjanaan jua akan mati, apabila wujud realiti itu dimusnahkan; menjadi pecahan-pecahan yang dibiarkan bertaburan, dan serpihan-serpihannya diambil lalu disusun dengan terbalik. Ketika itu, seni mula mendapat nafas dan dunianya kembali.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.