THE HERO’S JOURNEY: 5 FASA PEMUSNAHAN DIRI (Bahagian 2)

SEKALI lagi, selamat datang ke Tembolok Paus. Atau orang putih menyebutnya sebagai ‘The Belly of the Whale’. Dan Joseph Campbell  yang telah saya perkenalkan dalam tulisan saya di sini: Bahagian 1, memberikan beberapa contoh tragedi ditelan ini seperti, The Little Red Ridinghood ditelan serigala, Maui (ya, karakter dalam filem animasi Moana itu) ditelan oleh moyangnya, Hine-nui-te-po. Zeus yang ditelan oleh ayahnya, Kronos juga beberapa lagi tragedi yang diulas beliau dengan terperinci dalam The Hero With A Thousand Faces.

Jadi, sekarang kita sudah ditelan dan berada dalam tembolok seekor paus. Apakah kita sudah mati, sudah dihadam dan menunggu masa untuk dinyah tinja? Apa yang pasti kita sedang dimusnahkan.

Cara pemusnahan diri ini dirangkumkan oleh Joseph Campbell dalam bab Initiation sebagai:

  1. The Road of Trials
  2. The Meeting with the Goddess
  3. Woman as the Temptress
  4. Atonement with the Father
  5. Apotheosis
  6. The Ultimate Boon

Keenam-enam bahagian di atas mempunyai bahagian yang tidak boleh dibaca secara permukaan semata-mata. Sebagai contoh The Meeting with the Goddess merupakan takdir-takdir yang harus wira hadapi. Atau Atonement with the Father boleh membawa kepada penemuan ego dalam diri wira meski contoh yang diberikan Campbell merupakan suatu pertemuan fizikal. Semuanya merupakan hal yang membawa kepada pemusnahan diri.

BAHAGIAN 2: INITIATION | PERMULAAN

Sebenarnya, jika mengikut Struktur Tiga Babak (The Three Act Structures) yang diguna sebagai struktur lakon layar, kita sudah berada di Act 2. Tembolok paus ini biasanya dipanggil sebagai Special World. Dunia yang istimewa.

Jika menulis cereka, kita sudah mendaki gunung konflik. Dan ini adalah bahagian yang menuju kepada ‘pemusnahan diri’. Tetapi sebelum benar-benar musnah, apakah kita tidak mahu berjuang? Jika mahu berjuang, inilah hal yang bakal kita hadapi:

TEST, ALLIES, ENEMIES | DUGAAN, SAHABAT, MUSUH

Watak wira sedang diuji dari sudut dirinya sebagai seorang manusia biasa. Apakah yang ada pada dirinya; ilmu, kemahiran, keberanian. Sekali lagi, cerita digerakkan oleh watak. Oleh sebab itu ujian turut datang daripada watak-watak lain sama ada sahabatnya atau musuhnya. Apakah sahabatnya benar-benar yang sejati atau hanya sekadar musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan?

Watak Edmund dalam Narnia: The Lion, the White Witch and the Wardrobe merupakan salah satu perwatakan yang unik kerana Edmund merupakan adik beradik Pevensie tetapi dia sendiri telah‘mengkhianati’ adik beradik sendiri. Kita akan sentiasa mengingatinya sebagai ‘pengkhianat’ dan wira dalam masa yang sama.

Hal ini turut berlaku terhadap Frodo dalam Lord of the Ring. Frodo menyembunyikan kebenaran bahawa dia memiliki cincin kejahatan tersebut malah menggunakannya apabila dia merasakan itu perlu untuk dirinya. Perbuatannya telah membangunkan kuasa jahat.

Musuh wira, The White Witch adalah hal yang disentuh dalam bahagian Women as the Temptress. Seperti Campbell yang mengambil contoh Oedipus yang tanpa sedar mengahwini Jocasta, ibunya sendiri. Saya melihat Jocasta juga merupakan ujian dan ‘musuh’ yang unik.

APPROACH TO THE INMOST CAVE | KESEDARAN PALING DALAM

Sebagai manusia biasa, kesusahan akan sentiasa mematangkan, akan sentiasa membawa kita kepada kesedaran diri sendiri jika kita orang yang bersedia untuk berfikir.

Begitulah yang berlaku kepada watak wira ini. Ia suatu masa berfikir atau menimbal balik segala hal yang berlaku dalam diri, terhadap diri dan sekeliling dirinya. Watak wira kemudian akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi ujian lebih getir.

Edmund tahu dia sudah tersalah langkah apabila menyedari bahawa dia telah dipergunakan oleh The White Witch. Keunikan Narnia adalah kita harus menghadapi empat orang wira dalam satu cerita. Tiga daripada empat wira ini mempunyai fasanya masing-masing dalam satu cerita. Lucy yang paling bongsu menghadapi fasanya dalam siri The Voyage of the Dawn Trader.

ORDEAL | KESENGSARAAN

Wira akan menghadapi peperangan pertamanya. Dia mungkin sahaja boleh mati pada tahap ini. Ini yang dikatakan sebagai suatu pemusnahan diri untuk dilahirkan semula. Jika wira berjaya melalui tahap ini dengan kemenangan, dia akan menyedari bahawa dirinya bukanlah seorang yang lemah. Dia bakal menemukan dirinya sendiri, bukan hanya dengan kesedaran melalui fikiran tetapi secara nyata dengan pembuktian.

Peperangan pertama dalam Narnia adalah peperangan menyelamatkan Edmund. Edmund terlepas daripada kesengsaraan diseksa oleh The White Witch.

REWARD (SEIZING THE SWORD) | KERAIAN (JULANGAN PEDANG)

Setelah memperoleh kesedaran diri dan menemukan diri sendiri, keraian bagi wira bukan sahaja suatu kegembiraan, tetapi mungkin sahaja dalam bentuk anugerah. Wira menjadi orang yang mempunyai kekuatan diri yang bertambah, ilmu yang makin meluas dan kekuasaan.

Ya, saudara Pevensie gembira dengan kepulangan Edmund. Edmund juga sudah berubah perwatakannya menjadi lebih baik. Adik beradiknya dari asal tidak tahu berlawan sudah mempunyai ilmu tersebut. Perwatakan mereka sudah berkembang. Mereka sudah boleh berfikir untuk pulang.

THE ROAD BACK | JALAN PULANG

Bahagian ini seperti mengulang The Call to Adventure. Wira memulakan perjalanannya untuk pulang tetapi jalan pulang tidak semudah yang disangka. Ya, ia seperti suatu pusingan kehidupan meski fasa kehidupan itu sendiri sudah berubah. Wira sebelumnya hanya mencapai kesedaran dan penemuan diri. Masih ada sesuatu yang perlu dibayar oleh wira untuk mencapai kemerdekaan dirinya pula.

Ini kegembiraan yang perlu dibayar. Jalan pulang Pevensie tidak mudah kerana The White Witch datang menuntut sesuatu yang konon haknya. Kita fikir Narnia sudah selamat dengan berakhirnya musim sejuk yang beratus tahun. 4 wira ini boleh sahaja terus berjuang atau mementingkan diri sendiri dengan pulang tanpa mempedulikan Narnia. Tetapi ini sahaja jalan untuk memerdekakan diri. Kematangan mereka setelah fasa-fasa yang dilalui membuatkan mereka terus berjuang.

Ini adalah Plot Point 2 yang membawa kepada Act 3. Apakah wira memang benar-benar akan menjadi hasil nyah tinja paus? Saya akan sambung penulisan bagi hal yang ini. Semoga kita ketemu jalan pulang dan selamat sampai nanti.

Setiap fasa hidup tidak ada yang percuma! Kita sudah bayar ‘tol’ sejak bersetuju dengan Tuhan untuk dilahirkan.

Sumber gambar: Koleksi peribadi

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.
Penulis dan Ilustrator.
Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Penulis dan Ilustrator. Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.