FILEM YANG TERUK ADALAH CINTA YANG TIDAK KESAMPAIAN

SETIAP audiens datang ke pawagam bersama harapan, keterujaan dan keinginan untuk menonton sesuatu yang baik.

Harapan dan keterujaan ini mungkin boleh bertukar menjadi kekecewaan apabila filem yang ditonton tidak menepati ramalan atau sama sekali tidak memuaskan hati audiens.

James Monaco menyifatkan kepuasan penontonan sesebuah filem bergantung kepada pengalaman dan keupayaan mental dan budaya seseorang.

Menonton filem boleh diumpamakan seperti sebuah kisah cinta dalam dunia realiti; mempunyai seribu satu kemungkinan. Terdapat pelbagai kemungkinan yang membuatkan kita terjerat dalam percintaan yang menyakitkan, bukan?

Tulisan ini membariskan beberapa aspek ‘percintaan’ yang boleh membuatkan penonton berasa kecewa dan ‘kecundang dalam percintaan’ terhadap filem yang ditonton;

Harapan PalsuTrailer, poster dan segala promosi pra tayangan akan menambahkan lagi keghairahan audiens untuk menikmati sesebuah filem. Satu lagi kaedah pemasaran yang kerap diguna pakai hari ini, paparan minit-minit terawal potongan babak-babak menarik sesebuah filem. Segala macam promosi ini memberikan seribu satu harapan untuk audiens.

Harapan mungkin tinggal harapan jika filem yang ‘gah’ pada trailer atau barisan pelakon lima bintang itu hakikatnya hambar dan tidak berjaya untuk mengikat keterujaan penonton sehingga ke kredit akhiran. Maka berhati-hatilah dengan ‘janji-janji manis’ pra tayangan dan bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan untuk dikecewakan.

Terlalu Mengungkit Kisah Silam

Flashback atau imbas kembali seharusnya merupakan jalan terakhir untuk menghuraikan sesebuah cerita dalam filem. Bayangkan selang tiga atau empat babak audiens disajikan dengan babak imbas kembali, memang tidak masuk akal. Di sinilah peranan penulis dan pengarah untuk mencipta atau meleraikan konflik dengan bijaksana. Kalau dalam sebuah cerita ada sepuluh wasiat nenek, tak perlulah sepuluh babak imbas kembali.

Pasangan mana yang selesa apabila kerap disebut-sebut kisah silam? Begitu juga audiens yang setia menonton.

Tidak Serasi

Pengalaman peribadi adalah hal yang kritikal dalam menentukan kepuasan dan keserasian penontonan. Pengalaman inilah yang menggalakkan respons kritis audiens terhadap apa yang mereka tonton.

Kecenderungan terhadap sesebuah genre memainkan peranan penting untuk mewujudkan keserasian penontonan. Peminat fiksyen sains boleh saja memilih untuk menonton komedi aksi. Namun keserasian dan tahap penerimaan mungkin berbeza.

Keserasian terhadap apa yang ditonton boleh dipupuk dengan menjadi lebih terbuka untuk menerima.

Terlalu Mengongkong

Dialog yang tidak ekonomik, bersifat propaganda dan terlalu berkhutbah akan mengongkong audiens. Pembikin filem yang baik akan menggunakan bahasa visual dan aksi-aksi tertentu untuk memberi makna.

Untuk menyatakan rasa cinta terhadap negara, sesebuah watak tidak semestinya perlu menyebut dengan jelas, “Aku sayang negara aku!” Sebaliknya boleh diterjemah melalui visual.

Saat audiens berasa terkongkong oleh pemikiran pembikin filem yang keterlaluan, bersedialah untuk melihat satu lagi bangku kosong sebelum tayangan berakhir.

‘Orang Ketiga’

Orang ketiga di sini boleh dihuraikan sebagai faktor-faktor luaran semasa penontonan yang menyebabkan keterujaan kita menonton di pawagam direntap dan menghilang. Ini berkait rapat dengan kelakuan dan tabiat ‘orang ketiga’ dalam pawagam yang pelbagai. Bunyi bising, anak kecil menangis, telefon bimbit yang tidak ditukar ke mod senyap dan banyak lagi gangguan ‘orang ketiga’.

Orang ketiga tidak semestinya mempunyai matlamat yang sama;  meraih kepuasan penontonan. Sebaliknya mereka mungkin hanya ingin mengisi masa senggang dan mengganggu audiens lain.

Bayaran tiket adalah ‘mahar’ yang perlu dibayar untuk menikmati sesebuah filem. ‘Mahar’ inilah tanda komitmen audiens. Harga tiket yang serba tidak menentu bukanlah penghalang bagi mereka benar-benar mengharapkan sesuatu daripada penontonan.

Mahar dibayar bersama harapan. Jika filem tersebut baik dan menghiburkan, audiens tidak akan teragak-agak untuk menontonnya di pawagam berulang kali.

Penontonan filem adalah pengalaman percintaan. Setiap seorang daripada kita pasti pernah melaluinya. Bezanya, adakah setiap kisah itu seperti yang diharapkan atau sekali lagi ‘cinta’ tidak kesampaian?

Sumber gambar: Google Images

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.