MEMBAKAR KARYA SENDIRI

SEINGAT saya, ketika awal-awal saya mengakrabi dunia penulisan (sekitar usia 13 tahun), saya akan mempunyai dua buah buku catatan. Buku catatan pertama akan saya isi sama ada dengan catatan-catatan idea, ataupun puisi-puisi saya. Ya, sudah tentu buku tersebut dipenuhi dengan contengan di sana sini (dengan tulisan cakar ayamnya). Dan buku catatan kedua pula diisi dengan  catatan saya yang mengkritik karya-karya yang saya hasilkan sendiri. Saya akan mencari suatu ruang bersunyi; membuka semula buku catatan pertama; meneliti baris demi baris puisi (kepengarangan saya lahir daripada rahim puisi); dan membuka buku catatan kedua untuk saya catat kelemahan-kelemahan dalam puisi saya itu.

Sudah tentu puisi itu sebenarnya telah dihantar ke mana-mana editor, kerana saya merasakannya sudah kemas sempurna sebagai sebuah puisi yang telah disiat berkali-kali, sama ada oleh saya sendiri mahupun daripada teman-teman yang saya gurui atau menjadi pengkritik sejati karya saya pada setiap kali. Tetapi dalam diri saya sendiri ada suatu kesedaran dalaman, bahawa karya tidak wajar sekadar terbiar dikritik hanya semasa pembikinannya. Ia juga harus dikritik seusai siap ditulis, dan tidak mesti kritikan itu datang daripada orang lain, tapi diri sendiri harus menjadi kritikal dengan menyiat lumat puisi sendiri dalam sebuah tulisan yang lain.

Dalam hal ini, saya tidak percaya dengan pepatah rumah siap pahat berbunyi. Rumah adalah sesuatu yang tidak akan pernah siap, kerana cita rasa tuan rumah akan sentiasa berubah dan akan mula memahat-mahat tiang dan dinding untuk sebarang pengubahsuaian yang baru. Tinggal sahaja pada ketika itu, membakar karya sendiri pada saya ibarat membunuh diri sendiri. Lalu kini, kedua-dua buku catatan saya itu telah hilang entah ke mana – mungkin telah dibuang ke tong sampah, atau dicampak ke dalam bakaran api.

Wajar diingat bahawa sesebuah karya akan semakin menemui ajalnya apabila dibiarkan untuk hidup sendiri, kerana sesebuah karya yang siap ditulis adalah sebuah mayat yang mendapat rohnya semula apabila dibaca dan dikritik. Perbicaraan akan menjadikan karya itu terus berdegup segar di jantung waktu kerana itu menandakan karya itu tidak dilupakan dan tidak menjadi bahan dudukan di atas kerusi. Sebab itu, pada satu sisi, kita bolehlah berterima kasih kepada Mohd. Affandi Hassan yang terus mengangkat karya-karya sasterawan negara semula ke atas dengan catatan tintanya yang membakar hangus ke tengah khalayak, dan masyarakat mengambil karya yang telah hangus itu menjadi sebuah karya yang baru.

Mohd. Affandi Hassan telah menjadi seorang algojo yang cemerlang, sengaja membiarkan wajahnya terdedah dengan sebilah pedang di tangannya yang sedia memancung orang-orang sasarannya bila-bila masa, kerana ingin memastikan orang lain sedar bahawa mangsa sasarannya itu pernah menulis sesuatu – dan ianya perlu dibaca kembali dan dinafaskan semula. Tetapi wajah paling hodoh yang pernah ditonjolkan oleh Mohd. Affandi Hassan adalah pendewa-dewaan karya sendiri yang diangkat setinggi langit sedangkan waktu pun jelek dengan karya-karyanya sehingga dia sendiri pula yang terpaksa memaksakan orang lain untuk membicarakan karya-karyanya.

Sudah tentu seorang seniman harus mula melakukan yang sebaliknya, iaitu membakar karya sendiri di tengah-tengah masyarakat agar masyarakat sedar bahawa karya tersebut pernah wujud dan membiarkan debu-debu abunya disusun semula. Ketika ramai orang melihat sesebuah karya akan menjadi cerah masa hadapannya jika sentiasa dipuji dan dilambung, yang sebenarnya adalah karya akan terus merentas zaman apabila dikritik dan dibakar.  Karya-karya yang terus dibakar akan terus dibicarakan orang, dan ruang waktu tidak akan berupaya untuk menguburkannya selagi ada yang terus menyebut-nyebut namanya. Sekalipun diharam dan dikisar, ideanya akan terus malar segar.

Ketika inilah, Roland Barthes perlu dibangkitkan semula daripada kuburnya dan membuka sebuah kamar yang dipenuhi oleh selerakan teks yang pengarangnya telah lama mati seusai teks disiapkan, lalu membiarkan penulis teks itu sendiri yang membakarnya dan membiarkan api bakaran menyala-nyala di jalanan. Penulis tidak lagi menjadi objek kepada teks, melainkan telah bertukar menjadi subjek, maka penulis tidak wajar merasa canggung untuk mengkritik sendiri sesuatu yang pernah ditulisnya, kerana tulisan adalah sesuatu yang tidak akan pernah siap.

Tulisan adalah sebuah kehidupan yang tidak akan pernah selesai ditulis. Sekalipun tulisan itu telah ditamatkan sebagai sebuah teks, tetapi naratifnya akan terus berjalan dan sentiasa ada rahsia yang belum terungkai, yang akan hanya mampu dirungkai apabila penulis itu sendiri yang membongkarnya. Penulis yang tidak mahu mengkritik tulisannya sendiri ibarat telah membiarkan sebuah teks yang mati untuk hidup dengan sendirinya, sedangkan keupayaan itu berada di tangan penulis tersebut. Kritikan yang saya maksudnya bukan sekadar renungan peribadi dan muhabasah diri, tetapi benar-benar menjadikannya sebagai sebuah catatan yang akan dibaca oleh sejarah. Seorang penulis yang ingin hidup lama perlu mengakrabi ruang sejarah, kerana sejarah sahaja yang akan memastikan sesebuah karya tidak dimamah waktu.

Cuma sahaja tradisi kritikan di negara kita semakin menemui zaman gelapnya kerana penulis sentiasa takut dengan bayang-bayangnya, dan pengkritik takut kehilangan kawannya. Kritikan sentiasa dianggap sebagai proses pembunuhan, kerana penulis takut untuk menghadapi kehidupan yang dia sendiri cipta.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.