PERBUALAN LIMA ORANG LELAKI TENTANG ESTETIKA

DALAM esei Why I Write tulisan George Orwell, ada empat perkara yang menyebabkan seorang penulis itu menulis. Salah satunya ialah aesthetic enthusiasm (semangat estetika). Bagi Orwell, seorang penulis menulis untuk berkongsi persepsinya tentang keindahan dunia; kebahagiaan dalam sebuah dengungan bunyi pada satu bunyi yang lain; dan kehendak untuk berkongsi pengalaman yang bernilai daripada dirinya sendiri. Ketika ramai orang melihat keindahan adalah sebuah kecantikan, tetapi ternyata estetika tidak menilai kecantikan itu sebagai suatu bentuk keindahan. Kerana kecantikan itu adalah sesuatu yang terlalu material, tetapi keindahan itu memberikan peluang kepada seorang penulis untuk menghayati kehidupan kata-katanya sekalipun hidupnya sentiasa dalam kesusahan. Keindahan itu hadir daripada rasa dalam dirinya yang menikmati suatu pengalaman dalam diri, dan hanya dirinya sahaja yang memahami bagaimana pengalaman itu menjadikannya tidak mahu keluar daripada lingkungan sebegitu.

Saya sendiri selalu bermonolog mencari-cari ruang dalam diri sendiri untuk menemui  dan memahami akan makna sebuah keindahan. Keindahan itu mungkin berupaya ditemui, tetapi bagaimana untuk ianya difahami? Ketika kita menatap senyuman seorang Mona Lisa, bagaimana kita menikmati keindahan daripada sekadar senyuman pada sebuah potret itu dan kenapa Leonardo da Vinci begitu meyakini bahawa penatap karyanya itu mendapatkan keindahannya sehingga bertahun-tahun ditumpahkan seluruh cat dan berusnya hanya untuk melakar lukisan wajah seorang wanita? Bagaimana seorang penyair meyakini akan puisi-puisinya itu mampu memberi kesan keindahan kepada pengalaman pembacanya? Persoalan tentang keindahan adalah persoalan yang sentiasa dicari-cari tetapi tidak dapat hendak diukur dengan pasti, kerana setiap orang adalah berbeza akan makna keindahannya kerana boleh jadi, keindahan itu juga adalah dibentuk oleh latar peribadinya.

Sebab itu ketika Orwell menulis esei tersebut, beliau menceritakan siap-siap akan latar peribadi yang membentuk dirinya sebagai seorang penulis. Kerana Orwell sedar, tujuan penulisan seseorang penulis tidak akan dapat dicerap tanpa seseorang mengetahui akan latar pembangunan diri awalnya. Walau saya mungkin berbeza pendapat dengan Orwell dalam hal ini, tetapi mahu tidak mahu, perlu sedar bahawa kata-katanya itu juga tidak salah dan ada kebenarannya.

Sehinggalah pada suatu ketika, dalam ruang monolog saya itu, empat orang lelaki berjaya menerobos masuk ke dalam ruang diri saya dan memulakan suatu perbualan. Entah bagaimana mereka mampu menerobosnya, tetapi cukup membuatkan saya terperanjat sehingga tertumpah sedikit kopi Espresso di atas Hikayat Buyung Lurus sebelum sempat saya mengalihkan bukunya dan membetulkan semula cawan kopi. Empat lelaki tersebut ialah Jack Malik, Abdul Karim, Jamal Raslan, dan Muhaimin (Abdul Muhaimin Hamzah). Perbualan dimulakan dengan Jack Malik yang tiba-tiba membentak sambil memegang buku Cakap-Cakap Puisi Abdul Ghafar Ibrahim dan Shahanz Akbar dengan gaya suara Mana Sikana,

“Puisi tidak bersifat didaktik dan tidak pula mengajar pembacanya.”

Lalu masing-masing duduk di tengah-tengah kamar dan wujudlah perbualan di antara kami yang saya rakamkan semula di sini. Saya bangun sekejap mengambil kain di di atas hujung meja dan mengelap tumpahan Espresso tersebut sebelum duduk menyertai sama perbualan tersebut. Saya sengaja membiarkan lilin aromaterapi terus bernyala di hujung katil, kerana saya percaya wangian itu akan memberikan estetika kepada perbualan kami. Mungkin pengalaman estetika itu tidak hadir ke dalam diri, tetapi biarlah – seperti kata Orwell – wangian itu menjadi latar kepada perbualan kami supaya dapat membangkitkan semangat estetika seperti seorang Voltaire yang minum kopi sebanyak 40 cawan sehari kerana itulah yang memberikan pengalaman estetika kepadanya untuk menulis karya-karya pencerahan.

***

Abdul Karim: Kalau ada, adakah puisi tersebut dikira gagal? Sebenarnya puisi yang bersifat didaktik ni buat aku muak. Lagi pula bila tak kena cara.

Jack Malik: Berjaya-gagal adalah subjektif. Namun begitu, aku merasakan sajak seeloknya (kalau tak ada bukan bermaksud tidak elok, tetapi kurang ‘rasa’) perlu ada 3R: Resonance – Relevance- Representation. Apa/siapa yang diwakili? Relevan tak dengan peredaran zaman? Adakah ia sampai kepada sesiapa/apa yang hendak disampaikan itu? Ini soal gagal-berjayalah. Aku setuju, boleh tulis tapi kena ada cara/adab/keberadaan/kefahaman yang luas dan dalam.

Muziru: Puisi yang didaktik tu yang jenis bagaimana ya? Jenis mengajar orang untuk buat itu ini ya?

Jack Malik: Haha. Yalah kot.

Muziru: Haha. Tapi ianya akan menjadi kesian kat puisi yang lebih literalis strukturnyalah. Sebab lazimnya puisi begitu akan memaparkan diri watak dalam puisi itu yang melakukan itu ini, atau meminta subjek melakukan itu ini. Contohnya, petikan puisi Sajak Orang Miskin oleh W.S. Rendra ini:

“Bila kamu remehkan mereka,
di jalan kamu akan diburu bayangan.
Tidurmu akan penuh igauan,
dan bahasa anak-anakmu sukar kamu terka.
Jangan kamu bilang negara ini kaya
karena orang-orang berkembang di kota dan di desa.
Jangan kamu bilang dirimu kaya
bila tetanggamu memakan bangkai kucingnya.”

Jack Malik: Yup. Mengkontekstualisasikan adalah lebih elok. Dalam hal ini, sajak Rendra yang dikongsikan oleh saudara, saya merasakan ianya tidak ada unsur, “Oh, marilah kita jadi orang yang menolong golongan miskin.” Puisi-puisi Rumi & Attar juga begitu, walhal sarat dengan pengajaran yang memang dipetik dalam Quran. Sebagaimana Abdul Karim katakan, muak kalau tak kena gaya. Huhu.

Jamal Raslan: Betul, tetapi penilaian puisi seharusnya tidak jatuh pada satu puisi itu saja, perlu ambil konteks masa+penulis+niat; keberadaan. Kita kena ambil kira kepenyairan penulis sepenuhnya dalam menilai sesuatu puisi. Ini akan mengajar kita keberadaan; adab. Setiap karya bersebab. Jangan jadikan rupa (form) sandaran dalam penilaian.

Abdul Karim: Kiranya didaktik okey, tetapi kalau tak kena ‘setting’ dia, rasa muak.

Muziru: Yep. Betul kata saudara. Saya setuju. Jadi, kena kembali kepada penilaian estetikalah jika begitu untuk membuat penilaian. Sebab estetika akan menilai bagaimana sesebuah puisi itu mampu meresap ke dalam jiwa pembaca. Tetapi, masih subjektiflah. Sebab pembaca akan mempunyai cita rasa yang berbeza untuk menerima sesebuah karya. Cumanya, tidak salah juga untuk meletakkan kayu ukurlah, supaya kita sama-sama dapat membahaskan kayu ukur tersebut untuk menguji keampuhannya sebagai sebuah kayu ukur.

Jamal Raslan: Estetika = rupa. Ia akan berbalik kepada retorik “form vs function” – mana yang mendahului. Estetika itu satu pilihan karyawan/seniman yang kita hanya akan mampu nilai sesudah karya (after the fact), kesesuaian dan keberkesanannya bergantung kepada kemampuan kita memahami (dan menjiwai) bukan setakat karya tetapi juga (penulisan dan kepenyairan) sang perngkarya. Demi mengelak dari bicara/perbahasan terikat pada rupa (selanjutnya meleret ke arah ideologi dan pendirian seni dan tertinggal puisi itu sendiri), kita mulakan penilaian dengan penerimaan kita sendiri terhadap sesebuah karya penulis (terutama sekali yang baharu).

Bermula daripada mengapa kita suka/tak suka, apa yang kita rasa/tak rasa, apa yang kita jangkakan/harapkan dan sebagainya ke arah kedudukan penulis dalam dunia puisi (kita). Perjalanan ke titik temu itulah yang akan menjadi sandaran penulisan dan kepenyairan diri kita sendiri. We are always able to meet the poet halfway. Persoalannya nak/tak nak, dan itu jatuh pada sikap dan pendirian kita.

Kalau seni itu cermin zaman, maka kehadiran puisi-puisi didaktik dan bukan dialektik mencadangkan yang pertiwi (the state) mungkin dijajah ide0logi yang autoritarian, atau kehilangan/kekosongan nilai-nilai murni dalam bangsa (pada hemat penulis). Ia mungkin tak sihat (rujuk kerajaan German, Soviet dan China) atau ia mungkin sihat – ingin menjana dan menggerakkan rakyat (rujuk Indonesia). Begitu juga sebaliknya dengan puisi-puisi dialektik – ia mungkin tak sihat (budaya hedonis dalam tamadun) atau sihat (rujuk zaman Renaissance secara umum).

Juga, jangan lupa yang seni ini juga pencetus kesedaran. Kadangkala ia hanya kesedaran penulis yang mengarahkannya untuk menulis puisi-puisi didaktik, hanya kerana dia sudah mencapai kesedaran baharu. Tiada perkaitan yang langsung dengan peredaran zaman sekelilingnya.

Muziru: Estetika bukan rupa. Rupa adalah struktur. Struktur membentuk karya menjadi sebuah bangunan yang dapat didiami secara konkritnya. Tetapi estetika adalah seperti sebuah taman yang dilalui oleh seseorang, di mana keadaan taman itu memberikan suatu perasaan kepada diri seseorang. Ada orang mendapatkan pengalaman estetikanya setelah memetik bunga di taman, menciumnya, dan mencapai pengalaman keindahannya. Ada orang, memilih untuk minum Espresso berbanding Mocha di tengah-tengah taman, kerana Espresso memberikan rasa estetika dan maknanya yang tersendiri kepada dirinya bersama wangian bunga-bunga.

Sebab estetika tidak membicarakan soal rupa. Estetika membicarakan soal keindahan, rasa, dan makna. Ianya adalah sesuatu yang abstrak dan berlawanan sekali dengan struktur yang membicarakan soal rupa yang konkrit. Sebab itu bagi John Stuart Mill, puisi adalah sebuah objek yang ditulis berdasarkan emosi, di mana ada orang menulis puisi berdasarkan kepercayaan, dan ada orang menulis puisi berdasarkan rasanya. Antara emosi dan kepercayaan, kedua-duanya adalah sesuatu yang tidak tampak. Dan estetika akan menghasilkan suatu perasaan kesenian dan keindahan yang menjadikan penyair dan pembaca merasai puisi itu sebagai sebuah kehidupan.

Sebab itu kata saya, penilaian itu harus kembali kepada estetika. Sebab estetika tidak membicarakan rupa sama ada puisi itu didaktik ataupun tidak. Tetapi estetika menjadikan puisi itu tidak lagi sebagai himpunan kata-kata, tetapi adalah sebuah taman bunga. Pembaca tenggelam dalam dunia kata-kata itu, dan merasai sendiri sama ada taman bunga tersebut menenangkannya ataupun tidak.

Didaktik atau tidak didaktik, tidak dicerminkan oleh zaman. Puisi mungkin mempunyai langgam rupanya yang tersendiri disebabkan pengaruh zaman, tetapi estetika itu melangkau waktu. Sebab itu estetika bukanlah sesuatu yang baru, malahan sudah dibincangkan sejak zaman Aristotle lagi. Tetapi rupa adalah sesuatu yang baru dan mengikut fasa-fasa zaman tertentu, yang mana ianya tidak lagi relevan dibincangkan selepas zamannya itu berlalu pergi.

Jamal Raslan: Ada sebab saya gunakan estetika = rupa, dan bukan estetika = struktur/bentuk. Estetika ada perantaraannya – deria. Perenggan pertama saudara mengiyakan pernyataan saya.

Muhaimin: Jadinya Muziru, pada kau estetika ialah objek kepada apresiasi?

Muziru: Saya tak rasa meletakkannya sebagai objek adalah sesuatu yang tepat. Mungkin boleh dikatakan, estetika itu adalah apresiasi itu sendiri. Sebab kita tidak boleh nak meletakkan keindahan, rasa, dan makna itu sebagai objek. Objek memiliki kayu ukur yang konkrit, tetapi ketiga-tiga itu tidak mampu diukur secara konkrit.

Maka, estetika itu adalah apresiasi itu sendiri yang mencari dan memaknai sendiri kepada keindahan, rasa dan makna apabila membaca sesebuah puisi. Ianya mungkin kelihatan kompleks dan terawang-awangan, tetapi estetika itu adalah sesuatu yang amat peribadi dan dirasai oleh individu itu sendiri.

Estetika itu akan mulai kelihatan apabila seseorang pembaca mula meluahkan pengalamannya dalam pembacaan sesebuah karya. Pengalamannya itulah sesuatu yang sangat berharga dan menjadikan sesebuah karya itu terus hidup dalam diri masyarakat. Ada pembaca yang mengalami mimpi buruk selepas membaca sesebuah karya, dan ada pembaca pula yang bermimpi indah. Pengalaman mimpi itu sendiri tidak menjadikan estetika itu sebagai sebuah objek, tetapi sebuah apresiasinya terhadap karyanya yang dibaca.

Jamal Raslan: Mungkin dia maksudkan tujuan (objective) apresiasi?

Muziru: Oh. Kalau itu maksud Muhaimin, setujulah. Haha.

Muhaimin: Ya, aku maksudkan ‘objek’ sebagai ‘tujuan’ seperti yang Jamal sangka.

Jack Malik, Jamal Raslan, Abdul Karim, Muhaimin

Sumber gambar:

Cakap-cakap Puisi (ITBM)
Jack Malik (Khalif Sultan)
Jamal Raslan (FB)
Abdul Karim (FB)
Abdul Muhaimin Hamzah (FB)

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.