MEMBACA KEBIJAKSANAAN BAD GENIUS

 

                      Poster Bad Genius (2017)

BEBERAPA hari kebelakangan ini kerap terbaca komentar memuji Bad Genius (2017) filem arahan dan tulisan Nattawut Poonpiriya ini. Jarang sekali saya percaya dan terpancing untuk menonton filem-filem yang diangkat (pada hemat saya) berlebih-lebih atau overrated. Termasuklah Bad Genius.

Saya gagahkan jua untuk menonton. Panggung yang penuh bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk trailer dan komentar positif yang tular di media sosial.

Bad Genius adalah garapan dari skandal sebenar yang melibatkan kecurangan akademik dalam Standard Test for International Colleges (STIC).

Pengalaman 130 minit penontonan ternyata membuktikan apa jua komentar memuji filem yang berstatus box-office 2017 di Thailand ini adalah benar.

Saya tidak akan menulis panjang perihal naratif, watak dan perkembangan plot. Di kesempatan ini saya tuliskan beberapa hal yang dapat kita amati dengan menonton filem yang membuka tirai New York Asian Film Festival ini;

HEIST ALA THAI

Satu langkah yang bijak untuk pembikin filem Thai apabila berjaya melihat potensi besar genre heist. Heist movie lazimnya diangkat sebagai sub-genre dalam sesebuah filem aksi thriller dan jenayah. Lazimnya, genre heist akan memaparkan satu perancangan khusus seseorang atau sesebuah kumpulan untuk merompak, mencuri bertujuan mencapai sesuatu matlamat. Antara filem-filem heist yang popular termasuklah Ocean’s (11, 12, 13), Inside Man, The Italian Job dan Now You See Me.

Bad Genius telah meringkaskan kefahaman kita untuk mengenali ‘heist’. Hal peniruan dalam peperiksaan diolah menjadi sesuatu yang cukup mendebarkan seperti merancang untuk merompak bank.

PENGENALAN WATAK 

Bank, Pat, Grace & Lynn sebagai pemain utama.

Character establishment dibuat dengan sangat santai tanpa perlu bersusah payah dengan latar suara atau dialog yang sarat. Setiap watak dijelmakan pada waktu yang tepat dan berfungsi dengan baik. Baik Lynn, Grace, Pat mahupun Bank hadir tidak serentak tetapi berperanan besar dalam meneruskan perkembangan plot.

EMPATI KEPADA KEJAHATAN?

Filem yang baik memperlihatkan perkembangan watak menelusuri  liku-liku konflik dalam meraih character goal. Sepanjang perjalanan ini dapat kita lihat perubahan watak. Watak jahat menjadi lebih baik atau sebaliknya.

“Jika kita tidak berbuat jahat kepada dunia, dunia akan berbuat jahat kepada kita.” Kata-kata Bank dalam usaha memujuk (atau mengugut) Lynn untuk menyertainya dalam satu lagi skandal akademik.

Sebagai penonton, tanpa sebarang paksaan kita akan berpihak kepada watak utama walau apa sekalipun yang dilakukan mereka. Termasuklah meniru dan menipu. Kita akan turut berasa cemas acapkali Lynn atau Bank hampir ditangkap semasa meniru. Malah kita akan berasa lega dan puas setiap kali misi Lynn berjaya dilaksanakan.

Pengalaman penontonan sedari awal mendidik kita untuk empati kepada ‘kejahatan’ yang dilakukan Lynn, Bank dan rakan-rakannya. Mengapa? Kerana kita sudah cukup jelas dengan matlamat setiap satu watak yang ditonjolkan.

JURANG GENERASI 

Nattawut Poonpiriya, Pengarah Bad Genius

Untuk seorang pembikin muda seperti Nattawut Poonpiriya, pastinya ada ‘suara generasi’ yang ingin dilontarkan sepanjang menekuni karyanya. Generasi lebih berusia diwakili oleh watak Guru Besar, Bapa Lynn dan Ibu Bapa Pat yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri yang berkehendakkan generasi muda akur dengan perancangan mereka.

Walaubagaimanapun, kebijaksanaan generasi muda ditonjolkan dengan ketara apabila Lynn dengan berani mempersoalkan kredibiliti Guru Besar yang menerima ‘duit kopi’ (dinyatakan sebagai ‘yuran penyelenggaraan’) daripada Bapa Lynn bagi membolehkan Lynn diterima masuk ke sekolah elit tersebut.

Nilai penentangan generasi muda terhadap kapitalisme dalam pendidikan berjaya digarap dengan kemas tanpa memerlukan hujah yang menyeksa pemikiran penonton. Ironinya, Lynn dan sekutunya sedar tidak sedar telah mengaplikasikan budaya kapitalisme dalam kegiatan skandal akademik mereka. Bermula dengan bayaran 3000 baht sehinggalah ke transaksi dengan nilai jutaan baht.

Ketegangan jurang generasi ini dikendurkan sejajar dengan nilai ‘berbalik kepada akar’ yang dipegang masyarakat timur. Kasih sayang dan hubungan anak-ayah dipaparkan tanpa cacat cela. Penonton dapat bersama merasai pengalaman emosi dalam setiap babak Lynn bersama bapanya.

BIJAK DAN BERANI.

Inilah cerminan sebuah karya Thai yang tanpa kita sedari mempunyai banyak persamaan dengan apa yang sedang melanda sistem masyarakat negara kita. Kebijaksanaan dan keberanian mencuba satu genre berbeza dan mengangkat isu yang sangat dekat dengan masyarakat – peniruan dalam peperiksaan dilihat berjaya.

Semoga pengkarya Malaysia mengambil semangat dan motivasi daripada kebijaksaan ini untuk berani meneroka genre, isu dan persoalan yang lebih universal dalam pembikinan karya yang berkualiti.

Menjadi berbeza daripada kebiasaan tidak bermakna kita perlu menghasilkan sesuatu yang terlalu asing (filem kajian(?), misalnya). Bad Genius berjaya kerana telah meletakkan kelainan genre dalam kebersamaan isu yang sangat universal dan dekat di hati masyarakat.

Sumber Gambar: Google Images

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.