RM3 UNTUK KENANGAN

BERAPA nilai yang awak sanggup bayar demi mencipta kenangan, apatah lagi ‘membeli’ kenangan? Ada orang pernah cakap, “Yang paling menarik tentang memori adalah sewaktu menciptanya.” Jadi, apa yang sudah kita ciptakan hari ini?

Seawal pagi tadi, di suapan berita Facebook saya, ramai teman yang berkongsi tentang usaha yang dibuat oleh Berita Harian (BH), terutamanya PETRONAS dalam mengembalikan memori yang dicipta 60 tahun lalu. Ya, saya memaksudkan 12 halaman akhbar BH yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957 yang diselitkan dalam BH hari ini.

Berita Harian 31 Ogos 1957 (@hafizlatiff111)

Kami keluar dari rumah sekitar pukul 2 petang. Saya pada ketika ini sudah beranggapan bahawa akhbar ini tidak akan terdapat lagi di mana-mana kedai. Namun, nasib menyebelahi kami, di 7 Eleven pekan lama Nilai, masih ada beberapa BH di atas rak.

Hujan sesekali lebat dan sesekali nipis tidak dipedulikan. Eja keluar buat kali pertama dan hanya membeli satu naskhah sahaja. Ketika kembali ke kereta dan kami bersama-sama berpeluang untuk menatap naskhah ini, ada perasaan sebak dan gembira yang berbaur. Dan entah kenapa, saya membuat keputusan untuk keluar dan pergi membeli naskhah kedua. Eja berhasrat untuk membingkaikan satu naskhah untuk diletakkan di #KABO, manakala satu lagi sebagai kenang-kenangan kami di rumah.

RM3 untuk kenangan 60 tahun lalu. RM3 untuk menatap berita yang lebih ‘mahal’ nilainya. 60 tahun yang menyaksikan jatuh-bangun perjuangan rakyat Malaysia. 60 tahun yang kalaulah datuk dan nenek saya masih ada, pastinya saya akan mendengar cerita-cerita mereka yang berbaur dengan pelbagai emosi.

Apapun, saya doakan agar kita sentiasa dilindungi Tuhan. Saya mewakili Legasi Oakheart dan Kuras Buku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan ke-60, Malaysia.

Negaraku Sehati Sejiwa!

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Pen(ulis)jual Buku. Editor. Tipografer. Moderator. Aktivis Seni.