SECANGKIR COKLAT DI MINGGU YANG HANGAT

“Kak Eja. Aku akan main (datang) ke Ka El (KL) September nanti.”

“Silakan. Kami sambut di sana. Beritahu aku tanggalnya.”

Itu malam bulan Mei di rumah Irwan Bajang ketika saya dan Hafiz ke Jogja. Tanpa sebarang perancangan apapun untuk September. Kami bersantai. Tiga pasang suami isteri, bekerja dalam bidang seni dan sastera, dan akhirnya meninggalkan suami-suami sahaja berbincang hal-hal serius tentang kerja santak ke Subuh. Dan perancangannya tiba awal Ogos ke kantung mesej di WhatsApp saya. Daripada berjalan-jalan tanpa arah hujung September nanti, kami merancang kolaborasi.

Satu penghormatan bagi kami menerima Eka Nusa Pertiwi hujung September ini. Bagi saya wanita ini memang anak seni sejati. Dia bukan hanya selebriti. Tetapi seorang artis; bekerja untuk seni dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Antara bukti terdekat, meski sibuk dengan pementasan saban malam, Eka tidak pernah melepaskan tanggungjawab kolaborasi kepada kami semata-mata di Legasi Oakheart. Dari Jogjakarta, nun jauh merentas negara, setiap hari Eka berusaha memenuhi setiap keperluan untuk Secangkir Coklat Di Minggu Yang Hangat yang akan berlangsung hujung September ini.

Seni fotografi The Wedding Kite oleh Harry Hartantio

Eka Nusa Pertiwi sudah sedekad dalam bidang lakonan. Bermula dengan teater pada tahun 2007 dan memenangi Anugerah Aktres Terbaik Festival Jakarta Timur pada tahun yang sama, Eka ternyata tidak mahu berhenti daripada cintanya ini. Dan jelas, takdirnya memang dalam bidang ini kerana beliau telah mendapat biasiswa bagi Studi Akting (Lakonan) di Institut Kesenian Indonesia (ISI) Jogjakarta.

Eka bermula dengan teater

Dari pentas teater, takdir Eka membawanya ke filem-filem pendek, bermula dengan filem pendek Travel seterusnya ke layar perak bagi filem cetera. Antara filem lakonannya yang sering disebut-sebut ialah Mata Tertutup (2012) arahan sutradara hebat Indonesia, Garin Nugroho. Tuah buatnya kerana punya bakat dan masyarakat mampu mengenal bakatnya, menerusi filem ini Eka meraih Anugerah Aktris Pendatang Baru Terbaik bagi Piala Maya dan Apresiasi Film Indonesia. Kita masih menunggu untuk menonton lakonan Eka sebagai tunjang utama dalam filem fiksyen sains, Tengkorak arahan Yusron Fuadi.

Eka juga turut terlibat dalam penggambaran FTV arahan Gaku Narita dan Edi Prasetyo, When You Wish Upon Sakura (2016). Selain daripada itu, kerjaya pelakon ini ternyata sudah mulai bertapak di Jepun sejak tahun 2010 apabila menjadi perwakilan seniman teater dengan kerjasama seniman negara matahari terbit itu bagi program Revitalisasi Seni Indonesia-Jepun di Osaka.

Bergandingan dengan Chelsea Islan dalam When You Wish Upon Sakura (2016)

Kami bawakan kepada kalian, Eka Nusa Pertiwi, pelakon monolog kegemaran Kota Jogja hanya di Secawan Wayang dan Teater Interaktif: Secangkir Coklat Di Minggu Yang Hangat bertempat di #KABO, Bandar Baru Bangi. Acara berlangsung selama dua hari (30 September 2017 – 1 Oktober 2017) dengan harga tiket hanya RM30 untuk kedua-dua hari tersebut. Atau boleh juga memperolehi tiket bagi salah satu hari yang kalian mahu. Kita tonton filpen-filpen dan filem cetera The Window (2016, Nurman Hakim) lakonan Eka pada hari pertama, juga persembahan teater beliau pada hari kedua.

Pelakon Pendukung Terbaik filem The Window

Nantikan kemas kini lainnya tentang acara ini, hanya di #KABO, Ruang Stimulasi Seni dan Sastera Malaysia. Dan kali ini stimulasinya merentas budaya dan negara.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku.
Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.
Penulis dan Ilustrator.
Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.

Penggerak Legasi Oakheart dan Kuras Buku. Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Penulis dan Ilustrator. Penulis buku Strukturalisme Genetik dan Hak Asasi Manusia dalam Bahlut karya Faisal Tehrani, Dendam Dari Lisbi, Bibiliobibuli, Ossieanna, Janji Miftahul Raudhah dan pelbagai karya di media cetak.