THE WINDOW (2016): MENYINGKAP TANDA DAN MAKNA DI SEBALIK JENDELA

The Window (2016) merupakan sebuah lagi tukangan pengarah Nurman Hakim yang turut melahirkan karya-karya seperti Pesantren (2008), Khalifah (2011 dan Bid’ah Cinta (2017).

The Window mengisahkan tentang Dewi, seorang gadis yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di kota Jakarta berasa terpanggil untuk pulang ke kampung halamannya di Yogyakarta setelah sepuluh tahun kerana menerima khabar mengejutkan; kakak kandung yang cacat mental (Dee) telah mengandung. Setelah pulang ke kampung, matlamat Dewi begitu jelas diperlihatkan; mencari siapakah yang menyebabkan Dee berbadan dua.

Menurut perkongsian, judul asal filem ini adalah Dee dan bukannya The Window. Sesuatu yang menarik sebagai seorang penonton, adalah mencari saling perkaitan di antara judul dengan keseluruhan cerita. Apa agaknya rasional judul The Window (atau Tingkap dan Jendela) untuk mendokong sebuah naratif yang saya anggapi sebagai tidak bercerita mengenai tingkap secara literal?

Seawal pemilihan judul; Nurman Hakim nampaknya sengaja memberikan gambaran bahawa filem ini mempunyai makna yang sangat menarik untuk diteroka.

Sebaik sahaja tiba di kampung, Dewi singgah ke kilang tembakau tempat bapanya bekerja. Dewi mengintai dari jendela yang kekaburan, bapanya, Pak Dharsono masih di kerusi yang sama. Kekaburan imej Pak Dharsono pada jendela pejabat diperhatikan Dewi dengan berat hati, sarat dengan emosi yang terpendam, ada sesuatu yang perlu Dewi hadapi kembali setelah meninggalkan Pak Dharsono lebih sepuluh tahun.

Hampir saja saya meneka filem ini digarap bersama pengaruh surrealis apabila imej Menara Eiffel melatari pemandangan di luar tingkap rumah.  Lewat penontonan, saya semakin memahami mengapa jendela rumah Dewi yang bertukar ganti dengan Menara Eiffel, Pisa dan lain-lain ikon keajaiban dunia. Imej-imej ini adalah lukisan yang digantung oleh Priyanto, seorang pelukis yang tinggal bersebelahan dengan rumah Dewi.

Nurman Hakim memanfaatkan jendela pada latar utama The Window untuk menggambarkan banyak perkara. Imej yang terpapar pada jendela yang terbuka memberi representasi emosi dan pertentangan dalaman Dewi yang mahu membebaskan ibu dan kakaknya dari tradisi dan patriarki yang ditonjolkan melalui watak Pak Dharsono

 ‘Keajaiban’ yang dipancarkan pada imej lukisan memberikan gambaran bahawa sesuatu yang mustahil untuk berlaku, pasti akan terjadi tidak lama lagi. Hal ini disokong oleh imej Soeharto sebagai Bapa Pembangunan yang dipaparkan terbalik.

Sepadan dengan latar masa The Window, 1998 merupakan era reformasi Indonesia yang memperlihatkan pengakhiran era pemerintahan Soeharto. Nurman Hakim mengemukakan tanda-tanda yang cukup jelas bagi menggambarkan pertentangan terhadap patriarki dan pemimpin yang tidak lagi relevan berada di ‘kerusi’ yang sepatutnya.

Sebelum jendela terbuka luas, rumah mereka disifatkan sebagai tertutup dan tidak menerima tetamu. Kehidupan mereka terlalu rutin dan membosankan. Kerusi kayu dan televisyen menjadi teman setia Pak Dharsono setiap kali pulang dari pejabat.

Jika diperhalusi dalam konteks sistem sosial, kerusi adalah lambang kekuasaan, tanggungjawab dan kepemimpinan. Kerusi inilah yang diduduki Pak Dharsono sambil menonton siaran berita di televisyen yang ditonjolkan Nurman Hakim sebagai the idiot box.

Pak Dharsono yang selesa di kerusi kayu, lebih mempercayai berita-berita yang disiarkan di kaca televisyen dan menyifatkan kisah-kisah sejarah yang diceritakan isterinya kepada Dee sebelum tidur sebagai ‘dongeng dan penipuan.’

Selain jendela, imej keretapi dan landasan juga ketara ditonjolkan Nurman Hakim. Dewi tekad untuk ke kampung halaman dari Jakarta ke Jogja dengan menaiki kereta api. Sifat kereta api sebagai sesuatu yang jitu dan terus ke hadapan adalah perlambangan betapa tekadnya hasrat Dewi yang mahu meninggalkan masa lalu dan membawa kakak dan ibunya ke ‘landasan’ yang sepatutnya. Tekad dan kerasnya hati Dewi inilah yang telah ‘membunuh’ ego Pak Dharsono yang pada masa yang sama terbeban dengan rasa bersalah.

Secara peribadi, antagonis utama The Window bukanlah gerangan yang membuatkan Dee mengandung. Sebaliknya, patriarki dan kongkongan tradisi jauh lebih dominan sebagai antagonis tanpa nama. Pertentangan Dewi yang berjaya merubah nasib keluarga sebenarnya adalah pertentangan rakyat yang menginginkan reformasi. Sinar yang terpancar dari jendela yang terbuka seluasnya telah berjaya menghapuskan patriarki dan kongkongan tradisi yang sudah tidak lagi relevan untuk diadaptasi di sebuah rumah bernama republik.

 

Nota: Tulisan ini adalah pengalaman secara eksklusif dan pertama kali ditayangkan di Malaysia; The Window (2016) bersempena Secawan Wayang, Secangkir Coklat di Minggu yang Hangat yang berlangsung di #KABO (Kafe Buku Oakheart) pada 30 September 2017. Acara ini turut membawakan Eka Nusa Pertiwi atau ‘Dee’ untuk berkongsi pengalaman sebagai pelakon sekaligus mewakili pihak produksi.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.

Peminat Nora Elena yang dah lama tak menulis drama TV.