POLEMIK TRIVIA DALAM PEMILIHAN SASTERAWAN NEGARA

Baru-baru ini ada sebuah tulisan di suatu akhbar kelihatannya melobi agar Sasterawan Negara (SN) itu dipilih daripada orang bukan Melayu pula. Apabila membaca tulisan tersebut, ada beberapa persoalan dalam fikiran saya.

  1. Adakah pemilihan SN selama ini adalah berdasarkan identiti seorang pengarang?
  2. Apakah selama ini wujud aktiviti melobi anugerah SN di peringkat jawatankuasa secara dalaman sehingga terpaksa “melobi” cara luaran pula?
  3. Apakah teruknya karya-karya sastera tempatan sehingga bukan lagi isu pengkaryaan yang dibincangkan dalam menabalkan seorang sasterawan negara tahun demi tahun, tapi isu identiti (gender, bangsa, dll) yang menjadi bualan?

Saya tidak berhajat untuk membincangkan persoalan-persoalan tersebut. Biarkan sahaja ia tinggal untuk terus dibahaskan. Tetapi isu identiti pengarang adalah isu setiap tahun yang sentiasa wujud apabila tibanya waktu-waktu bagi pemilihan SN yang baru. Sastera adalah sebuah dunia yang tidak beridentiti. Sesiapa sahaja dibenarkan masuk ke dalamnya dan keluar daripadanya tanpa ada sesiapa yang melarang dan menghalang. Sastera adalah sebuah dunia bagi orang-orang yang berani untuk berimaginasi dan tidak takut untuk hasil imaginasinya itu dikongsikan kepada orang lain.

Sebab itu sebenarnya kita harus berterima kasih kepada Roland Barthes yang melaungkan “the death of author” bagi memastikan setiap karya itu mampu menyuarakan dirinya sendiri untuk wujud dan terus hidup tanpa perlukan lagi campur tangan luar lain hatta daripada penulisnya itu sendiri. Paling tidak, karya itu kuat bukan kerana penulisnya itu seorang lelaki atau perempuan; karya itu terus hidup bukan kerana penulisnya itu berbangsa tertentu; karya itu diterima ramai bukan kerana pengarangnya kacak ataupun cantik; karya itu sedap dibaca bukan kerana karya-karya yang ditulis oleh pengarang itu diminati (kerana tidak semestinya sesebuah karya yang ditulis oleh seorang pengarang itu bagus, maka dia akan menghasilkan karya-karyanya yang lain akan turut bagus).

Polemik pemilihan seorang SN ini selalunya bermusim. Ia akan datang ketika dekatnya pemilihan seorang SN, dan heboh sekejap selepas sasterawan negara tersebut ditabalkan, selepas itu sepi. Saya tidak mempersoalkan sama ada perlu atau tidak perlu ianya dipolemikkan, tapi adakah sudah cukup kita menguji karya-karya sasterawan kita, apatah lagi jika karya tersebut datang daripada seorang SN? Saya kira hanya seorang sahaja berdasarkan sepengetahuan saya yang terus konsisten menguji karya-karya SN kita, iaitu Mohd Affandi Hassan yang terus-menerus menggasak karya-karya mereka tanpa kasihan dengan gagasan Persuratan Barunya itu. Berapa lama dia telah membakar para Sasterawan Negara kita, terutamanya SN Muhammad Haji Salleh dan SN Shahnon Ahmad, dan kini SN Anwar Ridhwan? Saya tidaklah begitu menyenangi kesemua daripadanya (malahan pernah menulis makalah yang mengkritik gagasannya itu), tetapi saya hairan bagaimana dia mampu konsisten bersendirian selama lebih daripada sedekad untuk terus-menerus menguji dan mencabar karya-karya Sasterawan Negara yang telah dihasilkan.

Rumah siap pahat berbunyi? Rumah yang siap tidak semestinya ia adalah sebuah rumah yang sempurna. Ada ketika rumah tersebut pun ada yang cacatnya. Dan ada ketika barang-barang di dalam rumah tersebut akan jua mengalami kerosakannya jua. Perabot berkayu jati pun lama-lama reput dimamah anai-anai juga. Tidak ada rumah yang akan benar-benar siap dan selamanya siap. Pahat itulah yang akan memastikan rumah yang kononnya siap tersebut untuk benar-benar siap dan membetulkan mana-mana barang di dalam rumah tersebut yang telah rosak. Paling tidak pun, kita harus bersyukur apabila ada orang yang lebih tajam matanya memberitahu bahawa ada beberapa ekor anai-anai sedang mula melakukan kerjanya di bawah almari rumah kita dan meminta kita berhati-hati dan menghapuskan anai-anai tersebut.

Jadi, saya seringkali menepuk dahi apabila warna-warni kesusasteraan kita masih lagi dihiasi oleh polemik trivia. Siapa SN wanita pertama? Siapa SN bukan Melayu pertama? Siapa SN OKU pertama? Siapakah SN negeri sekian-sekian yang pertama? Trivia-trivia ini seronok dibincangkan di kedai kopi sambil menggugis roti canai yang disimbah kari dan dal. Atau menarik menjadi selingan-selingan fakta dalam esei. Tapi apabila ia dibawa ke dalam polemik, maka itulah tahap perbincangan kita: polemik sastera kedai kopi.

Saya bukanlah orang yang bersetuju sangat pun dengan Anugerah Sasterawan Negara ini. Sebab ianya mewujudkan sebuah autoriti dalam sebuah dunia yang tidak pernah dan tidak patut wujudnya sebarang autoriti. Tetapi itu bukan soalnya dan boleh dilanjutkan perbincangannya pada esei yang lain. Dan itu juga tidaklah bermakna bahawa saya tidak merasai debaran dalam menantikan pengumuman nama seorang SN yang terbaru. Sebab pada sisi positifnya, seorang SN boleh menjadi kayu ukur kepada masyarakat dalam menilai perkembangan sastera tempatan. Tetapi itulah, apabila polemik sastera trivia yang mendominasi perbincangan masyarakat, hal yang paling utama untuk karya-karyanya dibincangkan dan diuji telah tenggelam dan tidak terusik. Masing-masing sibuk nak membincangkan trivia dan bertekak hujah tentang trivia, akhir sekali karya-karya itu juga telah dipilih secara trivia.

Bacaan berkenaan Sasterawan Negara:
https://ms.wikipedia.org/wiki/Sasterawan_Negara_Malaysia

Dapatkan buku terbaru A Muziru Idham DI SINI

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.