MALAM DI KOTA PASCAKOLONIALISME & KOSMOPOLITAN

MALAM itu langit sedang jelita. Aku berada di Kafe Buku Oakheart (#KABO) pada pukul 8 malam bagi mengikuti Kuliah Oakheart S.M. Zakir Penggal Pertama. Katanya malam ini dia akan membedah puisi Nizzar Qabbani dan pascakolonialisme. Nizzar Qabbani? Okey. Penyair revolusioner kelahiran Syria itu. Malam itu S.M. Zakir membekalkan sama nota kuliah berbentuk makalah panjang bertajuk Pascakolonialisme dari Sisi yang Lain dengan lampiran puisi Nizzar Qabbani yang telah diterjemahkan bertajuk, Nota Kaki dari Buku Terintang (Hawamish ‘ala Daftar al-Nafsah).

Aku terpana benar dengan dua rangkap pertama puisi terjemahan Nizzar Qabbani tersebut ketika menyemak halaman pertama makalah:

“Puisi kita telah menjadi masam

rambut wanita-wanita, malam, tirai dan sofa

telah menjadi masam

semua telah menjadi masam

 

negeri dukaku

dalam kilasan

kau menukarkan aku daripada penyair yang menulis sajak cinta

kepada penyair yang menulis dengan pisau belati”

Membaca dua rangkap ini sahaja sudah membawa nada revolusioner yang tajam. Bagaimana sebuah puisi telah menjadi masam? Pastinya Nizzar Qabbani menulisnya dengan sebuah perasaan yang perit. Betapa tidak? S.M. Zakir beritahu bahawa puisi ini ditulis ketika Arab tewas dalam Perang Enam Hari Arab-Israel 1967. Seorang nasionalis sepertinya sudah tentu merasakan maruahnya dinjak-injak dengan kekalahan tersebut lalu semuanya telah menjadi masam untuk dirasainya.

S.M. Zakir memulakan kuliah dengan memberitahu bahawa seorang penulis itu perlu mempunyai pemikiran, dan pemikiran itu dibentuk dengan bacaan-bacaan yang tersimpan di belakang kepala. Ia menunggu masa untuk diluahkan dalam bentuk tulisan. Analoginya, penulis adalah seorang pelari yang mewakili negara ke Olimpik – pertandingannya adalah seketika cuma, namun latihannya itu menelan waktu yang lama. Maka siri kuliahnya ini bukanlah hendak mengajar sebuah teknik penulisan sangat, tapi lebih berbentuk pendedahan kepada pemikiran-pemikiran yang lebih rencam dan proses perbincangan kritis yang membawa kepada pembentukan sikap diri seorang pengarang terhadap sesuatu. Penulis harus cabar dirinya membaca buku yang seserius mungkin, supaya fikirannya mampat dengan “sesuatu”.

Selalu sahaja di selang-sela kuliahnya, dia akan menyebut, “Muziru dah tahu semua ni,” “Muziru lagi banyak bacaannya.” Aduh, canda yang begitu setiap kali menemuiku sering membuatkan aku tersipu. Kalau aku sudah tahu semua ini, buat apa lagi aku hadir dan mendengar tekun pencerahan-pencerahan baru daripadanya? Sungguh, sebelum S.M. Zakir datang, aku diberikan makalahnya itu oleh Kak Eja, dan duduk dahulu membacanya. Agak berat tulisannya membincangkan tentang pascakolonialisme sebagai antitesis kepada kolonialisme yang membawa kepada kosmopolitanisme.

Ketika aku membuka kuliah dengan persoalan bahawa tulisan ini berat untuk dihadam, dia mengakui bahawa itulah tujuannya dalam bengkel penulisan anjuran Legasi Oakheart ini, iaitu mendedahkan para peserta kepada dunia pemikiran agar semua orang dikerah untuk berfikir. Ramai orang boleh menulis dengan gayanya yang tersendiri, tetapi tidak ramai yang mempunyai gaya pemikirannya untuk menjadi isi padu mampat dalam sesebuah karya.

Mujurlah selang-sela kuliah itu dihidangkan dengan kopi o. Abang Hafiz yang menuangkannya ke gelas setiap seorang. Sambil mendengar dan mencatat, aku menghirup sedikit demi sedikit kopi o tersebut. Sedap.

Menariknya sesi kuliah yang pertama ini, S.M. Zakir membincangkan tentang budaya-budaya bawaan pascakolonialisme yang sering kali berpencar daripada tiga naratif, iaitu Islamis, nasionalis, dan sosialis. Ketiga-tiga naratif ini mewarnai pascakolonialisme selepas tumbangnya era kolonialisme, namun kelahirannya membawakan sebuah naratif yang lebih dahsyat sebenarnya berbanding era kolonialisme. Jika kolonialisme itu adalah suatu bentuk penjajahan daripada kuasa luar, tetapi pascakolonialisme memperlihatkan ketiga-tiga naratif tersebut saling mewarnai antara satu sama lain lalu menghidangkan sebuah era penjajahan baharu yang lebih dahsyat daripada kalangan peribumi sendiri. S.M. Zakir menyebutkannya sebagai kesan domino terbalik, iaitu “…kesan domino pertama menjatuhkan satu demi satu rejim, tetapi kesan domino kedua (terbalik) mengembalikan satu demi satu rejim lama yang jatuh dengan wajah yang baharu.”

Rejim pascakolonialisme sering kali gagal terbangun sebagai sebuah rejim yang baharu, kerana mereka tidak menguasai rejim ilmu pengetahuan yang dibangunkan oleh rejim lama dalam menguasai sumber pengeluaran dan pengurusan pentadbiran. Rejim ilmu pengetahuan menguasai kecekapan pengurusan dan pembangunan teknologi serta pengeluaran modal, dan revolusi yang membangunkan rejim pascakolonialisme terbangun dengan tiada ketersediaan untuk ke arah rejim ilmu tersebut.

Penat. Otak kepenatan. Malam itu adalah malam yang serius. Sungguh. Aku cuba hadam satu per satu pembentangan S.M. Zakir. Kopi yang aku hirup itu sendiri tanpa sedar semakin sedikit dan habis daripada cawannya. Sehingga yang tinggal di dasar cawan adalah pati kopi yang hitam pekat. Abang Hafiz menawarkan diri untuk menambah. Aku menolak. Sejujurnya, aku ada sedikit masalah dengan kopi tanpa susu. Lebih tepat lagi, kesihatanku bermasalah. Banyak kali sudah aku minum kopi tanpa susu dan tidak meminum air kosong selepas itu, lalu aku mengalami demam yang teruk. Ia akan bermula dengan sakit tekak yang perit, selesema yang berpanjangan, dan demam yang buat aku tak bangun daripada katil seharian.

Baiklah. Daripada wacana pascakolonialisme, S.M. Zakir bergerak pula kepada wacana kosmopolitanisme, kerana baginya, kosmopolitanisme itu wujud daripada fasa-fasa kematangan pascakolonialisme yang membentuk masyarakat kosmopolitan. Kosmpolitanisme ini secara mudahnya, “…merupakan kesaksian tentang masyarakat yang wujud sebagai masyarakat tunggal yang berkongsi hak sama rata dan memiliki nilai moral bersama, dengan sebuah identiti sejagat yang satu. Masyarakat tidak lagi dikelaskan mengikut agama, bangsa, atau apa-apa yang terbatas kepada sempadan yang terbentuk oleh idea lama.” Ringkasnya, masyarakat kosmopolitan tidak mahukan sebarang kewujudan identiti tertentu yang mewujudkan perasaan berbeza antara satu sama lain. Dalam masyarakat kosmopolitan, pembaratan (westernisation) itu tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang gah, tetapi dilihat sebagai tradisi kosmopolitan yang bersifat pencairan identiti, justeru hari ini Eropah sendiri terpaksa menerima tradisi Timur sebagai sesuatu yang rasmi di negaranya.

Kata S.M. Zakir, kosmpolitan bukan sekadar tertumpu maknanya kepada tempat, tetapi ia merujuk kepada sikap dan cara berfikir yang meletakkan matlamat hidup kepada keadilan sosial berasaskan individu dan pengagihan ekonomi yang memberikan kepentingan kepada semua. Kosmopolitan turut menubuhkan rejim ilmu pengetahuan sendiri yang bergerak untuk mencabar rejim pengetahuan kekuasaan pascakolonial.

Aku tekun menulis catatan daripada pembentangannya. Aku terus diam daripada awal sampai akhir. Memang begitu – tabiatku ketika berguru adalah sering kali kepala kosong dan diam menadah kata-kata yang aku akan simpan dalam kepala dan akan mencernanya semula dalam diam dan renungan. Sehinggalah pada sesi perbincangan, S.M. Zakir sekali lagi berpesan agar penulis itu perlu mampat fikirannya dan sarat dengan pengetahuan-pengetahuan yang mengisi ruang ideologinya agar pertukangan karya benar-benar memiliki kekuatan pemikiran yang cukup tinggi. Pemikiran akan memberi tunjang kepada sesebuah karya untuk berdiri merentas waktu.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.