MENULIS CERITA YANG AKAN TERUS DIINGATI

MALAM itu adalah malam kuliah kedua bersama-sama S.M. Zakir. Aku malu sendiri apabila aku tiba lebih lewat daripada S.M. Zakir, yang rupanya sudah berada di #KABO lebih awal. Tetapi kuliah belum bermula. Abang Hafiz dan Kak Zalila di atas kerusi. Termos air yang aku ketahui berisi kopi hitam dan beberapa gelas sudah tersedia di atas meja. Aku ke tandas terlebih dahulu melepas hajat – ditahan-tahan semenjak bergerak dari UKM. Malas ketika belum benar-benar mendesak. Sedikit penat, ya, tetapi nikmat. Pertama, dapat melepaskan hajat. Kedua, dapat mengikuti kelas pengajian bersama Abang Zakir yang aku akan menyesal sekali andai terlepas peluang. Kuliah bukan tentang teknik menulis dengan kreatif, tetapi tentang bagaimana membina isi padu pemikiran dalam menghasilkan sebuah karya penulisan.

Malam itu kuliah bertajuk Darah, Nafas, dan Jantung dalam Cerita. Tajuk itu sendiri sepertinya terasa menggelegakkan darah, menghangatkan nafas, dan mendentumkan jantung. Abang Zakir tenang sahaja menyemak makalahnya dan menggariskan isi-isi yang akan dijadikan point pembentangannya nanti. Aku duduk dan membaca terlebih dahulu makalah tersebut sepintas lalu, kerana waktu yang berbaki tidak memungkinkan aku menghabisinya dengan tekun. Abang Hafiz dan Kak Zalila meneruskan rutin membawang mereka. Ada gelak dan tawa; ada cerita yang rahsia daripada rakaman suara. Aku mendengar dan tersenyum.

Malam makin larut. Abang Zakir pun memulakan kuliahnya. Dia memulakan dengan memetik nama SN Shahnon Ahmad. Katanya, mengikut Shahnon, plot bukan paling penting dalam  cerita, tetapi watak dan perwatakan itulah yang paling penting. Cerita itu dihidupkan daripada watak yang bergerak. Watak itu perlu diberikan nafasnya, dan hak-hak struktural lain akan datang menurutinya. Jika aku boleh analogikan begini: Cerita itu adalah seperti sebuah bulatan, dan watak itu adalah seperti pusat di tengah-tengahnya. Watak itu akan bebas bergerak ke sana sini dalam lingkaran bulatan tersebut dan pengarang akan memastikan garisan yang dibina daripada pergerakan watak tersebut membentuk sebuah estetika dalam cerita tersebut.

Abang Zakir malam itu adalah seperti seorang Saussure menyampaikan kuliahnya yang memberitahu bahawa manusia itu wujud dibentuk oleh persekitaran budaya dan sejarah yang dialaminya. Maka, etnografi itu perlu dilihat dan tidak wajar dipinggirkan kerana ia akan memberi huraian padat dalam membangunkan sesebuah watak agar dapat hidup dengan baik dalam latar-latar yang dialaminya. Iya, sudah tentu kita tidak akan menulis (dan akan pelik kalau ditulis) tentang watak seorang pak cik nelayan yang tidak pernah bersekolah tinggi dan kerja sehari-harinya adalah menangkap ikan di lautan tetapi mampu duduk berjam-jam di kedai kopi membahaskan falsafah pascastrukturalisme yang tidak mempercayai tentang kewujudan naratif raya (grand narrative) dalam wacana sosial. Sudah tentu wujud keganjilan di situ apabila pengarang tidak melihat dan membaca etnografi sebagai alat memahami wahana perkembangan watak dan perwatakan.

Aku meneguk kopi sedikit. Sedap. Sambil mencatat nota. Sesekali Abang Hafiz dan Kak Zalila menyampuk menambah ajinamoto ke dalam perkongsian Abang Zakir. Aku mendengar.

Kata abang Zakir, watak dalam cerita itu mesti mempunyai ethos (perwatakan), logos (logik), dan pathos (emosi) dan hidup dalam konteks budaya tertentu. Manusia itu dibentuk oleh lingkungan budaya, dan budaya menjadikan watak tersebut hidup dan dekat dengan diri masyarakat lalu lebih memberi kesan kepada ethos, logos, dan pathos pembaca. Mengambil contoh tentang feudalisme – konteksnya masyarakat Melayu Timur sudah tentu berbeza dengan konteks feudal masyarakat Barat. Sekiranya sesebuah karya itu hendak menceritakan tentang feudalisme masyarakat Melayu, pengarang tidak boleh secara melulu membangunkannya dengan sebuah feudalisme daripada kaca mata Barat, kerana ianya menyebabkan pembaca tidak merasakan wujud hubungan estetika daripada karya yang dibaca.

Sebab itu – (aku hirup kopi lagi disela-sela penyampaiannya) – penumpuan yang sempurna ke dalam karya akan membentuk kesempurnaan pada hal yang lain. Karya itu menjadi kuat melalui kebijaksanaan dan ketajaman penulis menyampaikannya secara  tidak langsung. Aku tertarik sebenarnya apabila Abang Zakir membawa contoh daripada Naratif Ogonshoto karya SN Anwar Ridhwan sebagai bahan rujukan perbincangannya, dan pembedahannya daripada aspek plot dan perwatakan telah menjelaskan banyak perkara baharu kepada aku – sesuatu yang tidak aku ketemui ketika usai membacanya sekitar 7-8 tahun yang lalu. Abang Zakir memaparkan bagaimana perwatakan yang dibina pada diri watak tersebut menjadi penggerak utama kepada tautologi plot dalam novel tersebut.

Abang Zakir malam itu agak bertenaga. Hampir 2 jam kuliahnya disyarahkan tanpa henti. Mungkin tenaga kepenatannya dialihkan kepada aku pula. Jadi aku pula yang tidak henti menghirup kopi perlahan-lahan sehingga kelihatan patinya pada dasar cawan. Di penghujung sekali, Abang Zakir mengujar, “Penumpuan yang sempurna ke dalam karya akan membentuk kesempurnaan pada hal yang lain. Karya itu menjadi kuat melalui kebijaksanaan dan ketajaman penulis menyampaikan secara tidak langsung.” Sebab itu penulis perlu mencari kekuatan pada karyanya dan tidak sekadar merenungi akan kelemahannya. Ramai penulis terlalu fokus untuk membaiki kelemahannya, sehingga terlupa untuk memantapkan kekuatannya lalu akhirnya karya dia tetap tidak beranjak ke hadapan kerana isi padu dan estetikanya yang masih statik. Sedangkan karya yang dipandu oleh kekuatan tertentu akan menjadikan karya itu kuat berdepan dengan masyarakat walaupun sisi lainnya masih lemah. Kekuatan itulah yang akan menyebabkan karya tersebut terus berada dalam ingatan masyarakat.

Sepulang aku dari kuliah Abang Zakir, banyak perkara bermain dalam kepalaku. Pertama, aku perlu menggeledah semula karya-karya SN A. Samad Said, SN Shahnon Ahmad, SN Anwar Ridhwan, dan Faisal Tehrani. Karya-karya Pak Samad kuat pada sudut bahasanya; Pak Shahnon kukuh pada plotnya; Anwar Ridhwan menyempurnakan gabungan kedua-duanya dengan kuat pada plot dan bahasanya; dan kekuatan Faisal Tehrani adalah pada watak dan perwatakannya. Karya-karya mereka tidak dibiar ditinggalkan zaman melainkan terus disebut dan dibicarakan, dan yang paling diingati apabila membaca karya-karya mereka iaitulah pada kekuatan-kekuatan mereka yang aku sebutkan.

Kedua, aku perlu mencari kekuatan aku sendiri kerana sepulang dari kuliah Abang Zakir, aku baru sedar bahawa aku lemah daripada semua penumpuan-penumpuan tersebut justeru perlu mengoreksi semula tulisan-tulisan aku dan mencari sudut kekuatan yang perlu aku kembangkan. Pembacaan perlu diperbanyak. Membaca tidak lagi harus sekadar membaca, tetapi harus lebih bertujuan dan meneliti kekuatan pada karyanya. Seorang penulis tidak digurui dengan mendekati tubuh badannya (sebab itu aku kurang percaya pada seminar dan bengkel penulisan), kerana ramai sekali penulis yang tidak tahu menyampaikan ideanya dengan suara verbalnya.

Seorang penulis itu digurui dengan karya-karyanya, kerana kata-kata adalah suara terpendam daripada renungan dan nurani penulis yang tidak terucap dengan suara bibirnya dan tidak datang dengan kerja percakapan.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal.
Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.

Penulis buku Negeri Rausyanfikr dan Enta Liberal. Penggemar kopi dan coklat. Kalau dia merajuk, hadiahkan dia coklat. Dia akan terpujuk.