IRAMA YUDA: DENDANGAN DALAM KEHIDUPAN

IRAMA YUDA merupakan kumpulan puisi nukilan Azree Ariffin yang terdiri daripada 57 buah puisi. Kumpulan puisi ini pada dasarnya menyentuh perihal diri penyair dan catatan pengalaman daripada kisah-kisah yang beliau lalui dan lihat sendiri. Menurut penyair, irama adalah kata-kata dan setiap perjalanan hidup itu harus ditempuhi dengan pelbagai pancaroba yang tiada siapa pun dapat mengelaknya. Manakala yuda yang bermaksud peperangan atau sengketa dijadikan sebagai simbolik kepada liku-liku kehidupan. Maka puisi dijadikan sebagai sebuah medan bagi kata-kata menempuhi segala sengketa untuk mencari kedamaiannya sendiri. Dalam hal ini, penyair beranggapan bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia mempunyai sebab-sebab tertentu dan perlu dihuraikan setiap maknanya melalui penghayatan yang tersendiri.

Jelas dapat dilihat dalam kumpulan puisi ini penyair membawa keperibadian dan pemikirannya dalam menyentuh tema-tema seperti kekeluargaan, pertemuan dan perpisahan, jiwa bahasa, nadi alam, dan doa-doa yang dititip dari pengembaraannya. Penyair juga tidak menggunakan diksi yang hebat namun cukup sekadar kata yang biasa sehingga mampu membawa makna yang ingin disampaikannya. Oleh kerana itu, puisi-puisinya mudah untuk dihayati di samping menjadi sebuah dendangan yang syahdu.

Ketika membaca kumpulan puisi ini, nilai kejujuran oleh penyair dalam mengungkap dan mengekalkan ciri-ciri keperibadiannya terserlah seperti seorang penyair yang matang. Hal ini menampakkan suara penyair adalah asli. Walaupun pengungkapannya sederhana tetapi isi-isinya telah mengatur makna yang ingin disampaikan secara ranum tentang realiti kehidupan. Kumpulan puisi ini juga didatangkan dengan bahasa yang matang dan adakalanya dimainkan dengan nada melankolik. Kesinambungan langsung ini memberikan nafas kepada penyair dalam menggunakan bahasanya sendiri.

Penyair menjadikan Irama Yuda sebagai ibu kepada kumpulan puisi ini kerana ia telah menyentuh seluruh perkara yang ingin disampaikannya iaitu tentang kehidupan dan peperangan. Hal ini memang jelas dirakam dalam puisi “Irama Yuda”.

Ketika bersenandung rentak perang
bergeligis jiwa datang menyerang
terdayuh hiba memalu canang derita
bagai terpukul menelusuri jalanan
bila telinga yang semakin tuli
mendengar irama sengketa
di balik puing-puing kota.

Melihat bait-bait daripada rangkap tersebut, ia adalah sebuah nyanyian duka dalam kehidupan. Sengketa atau peperangan adalah musuh kepada kehidupan. Kemusnahan dan kehilangan adalah derita yang terpaksa ditempuhi oleh insan yang terlibat dalam sebuah peperangan. Namun begitu, dapat dilihat juga makna yang lain. Sengketa tidaklah mempunyai satu makna sahaja tetapi boleh digambarkan sebagai pancaroba kehidupan, kesusahan yang dialami sebelum sebuah kejayaan dihadiahi.

Dalam puisi “Ketika Bahasaku Bungkam”, pembaca dapat melihat sendiri bagaimana penyair ingin mengangkat semula martabat bahasa Melayu kembali pada darjatnya semula. Puisi ini sememangnya menampilkan keberanian penyair dalam memperjuangkan isu bahasa.

Apalagi yang hendak dikatakan kepadamu
Ketika luka semakin parah memendam dendam
Tiada lagi bahasaku bergema dalam suara
Lidahnya kelu terbungkam dalam penantian
Dan kepada siapa pengaduan disampaikan
Semakin terpinggir ia terperosok lagi.

Secara dasarnya penyair menunjukkan perasaan cinta akan bahasa kepada bangsa. Puisi ini sedikit sebanyak menyentuh hati pembaca supaya memperkukuh lagi kecintaan terhadap bahasa ibunda.

Seterusnya, penyair berjaya memasukkan hubungan puisi dan doa. Puisi seperti ini menggambarkan hati peminta-peminta doa yang penuh ketakutan dan kekecewaan yang dikumpul dan disambungnya dengan doa kepada Tuhan. Penyair juga berjaya menyampaikan maknanya dengan baik. Perkara ini jelas terserlah melalui puisi “Tuhan, Aku Ketakutan”.

Oh Tuhan, ketakutan ini menggamit
Sekilas nafsu berseloroh di medan atma
Bergegar gempa melanda daerah cinta
Terhempas ke pantai cendala.

Berdasarkan puisi tersebut, penyair menggambarkan kegelisahan dan keresahan terhadap perkara yang telah terjadi dan apa disaksikan di sekelilingnya. Tambahan itu, puisinya juga berupa monolog kepada dirinya sendiri. Antara perkara menarik yang diangkat ialah pertanyaan dan suara keresahannya dalam kehidupan. Sehubungan itu juga, penyair turut meletakkan kembali arah panduannya iaitu menjadi peminta kepada Tuhan. Hal ini jelas, penyair telah sedar hakikat sebenar tentang doa-doanya selama ini.

Selimutkanlah, sejuzuk kalbu ini
Dengan nafas kalimah kudusmu
Terselindung dari tabir amarah
Menyingkap keinsafanku.

Melalui pengucapan puisi tersebut, terdapat mesej yang harus pembaca sedar dengan pemikiran. Penyair juga berupaya mengaitkan perasaan yang dipermainkan dengan keresahan bersama realiti kehidupan untuk dimasukkan dalam puisi ini. Secara jelas, penyair berusaha menampilkan satira yang beremosi kepada para pembaca dan mengaitkan dengan kehidupan semasa.

Sehubungan dengan itu, Azree Ariffin merupakan seorang yang berbakat dalam menulis puisi. Beliau berjaya membawa sesuatu yang segar dalam dunia penulisan puisi dalam bahasa Melayu pada masa kini. Pengalaman dan pandangan peribadinya juga boleh dikupas dengan lebih mendalam serta pengolahan bahasa untuk menjadikan karyanya puitis dan segar sepanjang zaman.

Demikian itu, Irama Yuda mempunyai inti pati yang mengalir dengan makna sebagai sebuah kumpulan puisi yang dapat membawa pembaca memahami hembusan kesegaran yang baharu yang dibawa penulis muda ini di samping pengolahan bahasa yang baik dalam menyampaikan mesej tersirat kepada khalayak.


Daniel Arief Hafiz merupakan pelajar jurusan Kesusasteraan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Kini sedang menjalani latihan industri di Legasi Oakheart.

Penerbit. Pemilik #KABO (Kafe Buku Oakheart).

Penerbit. Pemilik #KABO (Kafe Buku Oakheart).