SECANGKIR COKLAT DI MINGGU YANG HANGAT

“Kak Eja. Aku akan main (datang) ke Ka El (KL) September nanti.”

“Silakan. Kami sambut di sana. Beritahu aku tanggalnya.”

Itu malam bulan Mei di rumah Irwan Bajang ketika saya dan Hafiz ke Jogja. Tanpa sebarang perancangan apapun untuk September. Kami bersantai. Tiga pasang suami isteri, bekerja dalam bidang seni dan sastera, dan akhirnya meninggalkan suami-suami sahaja berbincang hal-hal serius tentang kerja santak ke Subuh. Dan perancangannya tiba awal Ogos ke kantung mesej di WhatsApp saya. Daripada berjalan-jalan tanpa arah hujung September nanti, kami merancang kolaborasi.

Satu penghormatan bagi kami menerima Eka Nusa Pertiwi hujung September ini. Bagi saya wanita ini memang anak seni sejati. Dia bukan hanya selebriti. Tetapi seorang artis; bekerja untuk seni dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Antara bukti terdekat, meski sibuk dengan pementasan saban malam, Eka tidak pernah melepaskan tanggungjawab kolaborasi kepada kami semata-mata di Legasi Oakheart. Dari Jogjakarta, nun jauh merentas negara, setiap hari Eka berusaha memenuhi setiap keperluan untuk Secangkir Coklat Di Minggu Yang Hangat yang akan berlangsung hujung September ini.

Seni fotografi The Wedding Kite oleh Harry Hartantio

Eka Nusa Pertiwi sudah sedekad dalam bidang lakonan. Bermula dengan teater pada tahun 2007 dan memenangi Anugerah Aktres Terbaik Festival Jakarta Timur pada tahun yang sama, Eka ternyata tidak mahu berhenti daripada cintanya ini. Dan jelas, takdirnya memang dalam bidang ini kerana beliau telah mendapat biasiswa bagi Studi Akting (Lakonan) di Institut Kesenian Indonesia (ISI) Jogjakarta.

THE HERO’S JOURNEY: 5 FASA PEMUSNAHAN DIRI (Bahagian 2)

SEKALI lagi, selamat datang ke Tembolok Paus. Atau orang putih menyebutnya sebagai ‘The Belly of the Whale’. Dan Joseph Campbell  yang telah saya perkenalkan dalam tulisan saya di sini: Bahagian 1, memberikan beberapa contoh tragedi ditelan ini seperti, The Little Red Ridinghood ditelan serigala, Maui (ya, karakter dalam filem animasi Moana itu) ditelan oleh moyangnya, Hine-nui-te-po. Zeus yang ditelan oleh ayahnya, Kronos juga beberapa lagi tragedi yang diulas beliau dengan terperinci dalam The Hero With A Thousand Faces.

Jadi, sekarang kita sudah ditelan dan berada dalam tembolok seekor paus. Apakah kita sudah mati, sudah dihadam dan menunggu masa untuk dinyah tinja? Apa yang pasti kita sedang dimusnahkan.

Cara pemusnahan diri ini dirangkumkan oleh Joseph Campbell dalam bab Initiation sebagai:

  1. The Road of Trials
  2. The Meeting with the Goddess
  3. Woman as the Temptress
  4. Atonement with the Father
  5. Apotheosis
  6. The Ultimate Boon

Keenam-enam bahagian di atas mempunyai bahagian yang tidak boleh dibaca secara permukaan semata-mata. Sebagai contoh The Meeting with the Goddess merupakan takdir-takdir yang harus wira hadapi. Atau Atonement with the Father boleh membawa kepada penemuan ego dalam diri wira meski contoh yang diberikan Campbell merupakan suatu pertemuan fizikal. Semuanya merupakan hal yang membawa kepada pemusnahan diri.

THE HERO’S JOURNEY: SELAMAT DATANG KE TEMBOLOK PAUS (Bahagian 1)

SUARA Regina Spektor menyanyikan The Call menyapa telinga saya sewaktu saya mencari idea penulisan untuk laman ini. Lalu lagu runut bunyi itu membawa saya mengingati semua siri filem Narnia terutamanya Prince Caspian. Dan saya mengingati kelas Penulisan Filem dan TV, sebuah kelas yang istimewa beberapa tahun lalu bagi saya kerana sepanjang semester, saya satu-satunya pelajar dalam kelas di bawah seliaan Encik Al-Jafree Yusop. Dan, seperti kebanyakan kelas di ASWARA, seluruh tubuh dan roh begitu berfungsi kerana buku yang dicadangkan adalah buku-buku terbaik, bukan kerana harus menjadi buku teks. Tetapi buku terbaik yang harus kita baca.

Salah sebuah buku yang dicadangkan oleh Encik Jef ialah The Hero With A Thousand Faces oleh Joseph Campbell. Dan ia berkait rapat dengan teori The Hero’s Journey yang ketika itu sedang kami bincangkan. Dan saya mencerakinkan Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe (Narnia) menggunakan teori ini. Sebuah teori yang diaplikasi oleh kebanyakan penulis lakon layar, dan jangan bimbang, kalian sebagai penulis cereka (cerpen dan novel) juga boleh menggunakan kerangka teori ini. Malah boleh melanggarnya jika sudah faham dan tahu apa yang mahu dilanggar.

KIUB KREATIF RORY’S STORY

SEBAGAI penulis, kalian pernah menghadapi writer’s block? Kita selalu mendengar istilah ini, bukan? Kita sering dengar juga terdapat segelintir penulis yang mengeluh, “Tak ada idea, tak ada idea.” Benarkah tak ada idea? Sedangkan semua hal di sekeliling kita boleh dijana sebagai idea. Jadi, sebetulnya, apakah kita menghadapi masalah kreativiti?

Jadi, saya ingin berkongsi dengan kalian tentang Rory’s Story Cubes. Salah satu permainan yang penting untuk saya sebagai seorang penulis walaupun permainan ini tidaklah dicipta khas untuk golongan penulis sahaja. Teruskan membaca dan kalian akan tahu sebab permainan ini sesuai untuk semua golongan.

 APA ITU RORY’S STORY CUBES?

Antara tema kiub Rory’s Story yang saya miliki

Ya. Ia nampak seperti dadu-dadu bergambar yang terpisah-pisah mengikut set tema. Terdapat 12 tema asas bagi permainan ini selain daripada set-set koleksi seperti Batman, Dr. Who, Scooby Doo dan sebagainya. Setiap satu set asas mempunyai 3 kiub. Setiap muka kiub mempunyai imej yang berbeza. Untuk satu set lengkap permainan ini, kita harus punya 9 kiub Rory’s Story. Tapi apa sebenarnya Rory’s Story Cubes?

SASTERA SEBAGAI SUATU KEBOHONGAN

APAKAH sastera merupakan sebahagian hal-hal yang paradoksikal? Bahawa ia suatu bentuk ciptaan manusia yang berlaku tidak jujur dalam kata-kata, malah suatu pertentangan pula dengan diri manusia yang berkata-kata?

Sir Philip Sydney, penyair Inggeris (1554-1586) menuliskan An Apology for Poetry bagi jawapan kepada kebohongan dalam puisi sebagaimana yang didakwa oleh seorang satiris Inggeris, Stephen Gosson (1554-1624). Gosson menyatakan bahawa puisi adalah ibu kepada segala kebohongan. Sydney pula bertegas bahawa penyair tidak pernah menyatakan bahawa kata-katanya benar atau tidak, maka dia bukan seorang pembohong; for the poet, he nothing affirms and therefore never lieth.

Kisahnya, kita mengenal seseorang penulis yang selalu menuliskan kebaikan sedangkan itu bukan dirinya, atau menuliskan keburukan sedangkan dirinya tidak begitu. Selagi penulis tidak menegaskan apa-apa tentang karyanya, maka dia tidak boleh dikatakan benar atau bohong. Penegasan ini kelihatan seperti suatu pelepasan diri yang agak mudah. Selagi seseorang pengarang tidak membicarakan karyanya sendiri dengan menegaskan ia sebagai suatu kata-kata yang benar atau suatu penipuan, maka selagi itulah dia tidak dapat dicap sebagai seorang pembohong. Apatah lagi puisi juga bersifat ideal dan sejagat menurut pemahaman pembaca. Ya, seperti suatu pelepasan diri yang mudah.