IRAMA YUDA: DENDANGAN DALAM KEHIDUPAN

IRAMA YUDA merupakan kumpulan puisi nukilan Azree Ariffin yang terdiri daripada 57 buah puisi. Kumpulan puisi ini pada dasarnya menyentuh perihal diri penyair dan catatan pengalaman daripada kisah-kisah yang beliau lalui dan lihat sendiri. Menurut penyair, irama adalah kata-kata dan setiap perjalanan hidup itu harus ditempuhi dengan pelbagai pancaroba yang tiada siapa pun dapat mengelaknya. Manakala yuda yang bermaksud peperangan atau sengketa dijadikan sebagai simbolik kepada liku-liku kehidupan. Maka puisi dijadikan sebagai sebuah medan bagi kata-kata menempuhi segala sengketa untuk mencari kedamaiannya sendiri. Dalam hal ini, penyair beranggapan bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia mempunyai sebab-sebab tertentu dan perlu dihuraikan setiap maknanya melalui penghayatan yang tersendiri.

Jelas dapat dilihat dalam kumpulan puisi ini penyair membawa keperibadian dan pemikirannya dalam menyentuh tema-tema seperti kekeluargaan, pertemuan dan perpisahan, jiwa bahasa, nadi alam, dan doa-doa yang dititip dari pengembaraannya. Penyair juga tidak menggunakan diksi yang hebat namun cukup sekadar kata yang biasa sehingga mampu membawa makna yang ingin disampaikannya. Oleh kerana itu, puisi-puisinya mudah untuk dihayati di samping menjadi sebuah dendangan yang syahdu.

5 KRITERIA MEMILIH BUKU BERKUALITI

KITA cuma ada RM100, tetapi buku apa yang kita mahu beli? Kita ada 365 buah buku untuk dibaca (jika 1 hari = 1 buah buku), tetapi berapa banyak hari kita berasa kecewa dengan buku yang kita baca?

Pernah beli buku dan akhirnya tak habis baca, malah diletakkan pula dalam tong kitar semula? Pernah pilih buku hanya disebabkan judulnya yang menarik, tetapi akhirnya kecewa dengan pengisian buku tersebut? Apatah lagi memilih buku hanya disebabkan kawan yang cadangkan?

Sememangnya memilih buku yang berkualiti itu amatlah sukar. Ada pula yang kata, buku berkualiti itu kan subjektif? Terserah kepada selera masing-masinglah buku yang bagaimana yang berkualiti buat dirinya. Ya, mungkin betul. Tetapi, bagaimana pula kalau ia salah?