IRAMA YUDA: DENDANGAN DALAM KEHIDUPAN

IRAMA YUDA merupakan kumpulan puisi nukilan Azree Ariffin yang terdiri daripada 57 buah puisi. Kumpulan puisi ini pada dasarnya menyentuh perihal diri penyair dan catatan pengalaman daripada kisah-kisah yang beliau lalui dan lihat sendiri. Menurut penyair, irama adalah kata-kata dan setiap perjalanan hidup itu harus ditempuhi dengan pelbagai pancaroba yang tiada siapa pun dapat mengelaknya. Manakala yuda yang bermaksud peperangan atau sengketa dijadikan sebagai simbolik kepada liku-liku kehidupan. Maka puisi dijadikan sebagai sebuah medan bagi kata-kata menempuhi segala sengketa untuk mencari kedamaiannya sendiri. Dalam hal ini, penyair beranggapan bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia mempunyai sebab-sebab tertentu dan perlu dihuraikan setiap maknanya melalui penghayatan yang tersendiri.

Jelas dapat dilihat dalam kumpulan puisi ini penyair membawa keperibadian dan pemikirannya dalam menyentuh tema-tema seperti kekeluargaan, pertemuan dan perpisahan, jiwa bahasa, nadi alam, dan doa-doa yang dititip dari pengembaraannya. Penyair juga tidak menggunakan diksi yang hebat namun cukup sekadar kata yang biasa sehingga mampu membawa makna yang ingin disampaikannya. Oleh kerana itu, puisi-puisinya mudah untuk dihayati di samping menjadi sebuah dendangan yang syahdu.