MALAM DI KOTA PASCAKOLONIALISME & KOSMOPOLITAN

MALAM itu langit sedang jelita. Aku berada di Kafe Buku Oakheart (#KABO) pada pukul 8 malam bagi mengikuti Kuliah Oakheart S.M. Zakir Penggal Pertama. Katanya malam ini dia akan membedah puisi Nizzar Qabbani dan pascakolonialisme. Nizzar Qabbani? Okey. Penyair revolusioner kelahiran Syria itu. Malam itu S.M. Zakir membekalkan sama nota kuliah berbentuk makalah panjang bertajuk Pascakolonialisme dari Sisi yang Lain dengan lampiran puisi Nizzar Qabbani yang telah diterjemahkan bertajuk, Nota Kaki dari Buku Terintang (Hawamish ‘ala Daftar al-Nafsah).

Aku terpana benar dengan dua rangkap pertama puisi terjemahan Nizzar Qabbani tersebut ketika menyemak halaman pertama makalah:

“Puisi kita telah menjadi masam

rambut wanita-wanita, malam, tirai dan sofa

telah menjadi masam

semua telah menjadi masam

 

negeri dukaku

dalam kilasan

kau menukarkan aku daripada penyair yang menulis sajak cinta

kepada penyair yang menulis dengan pisau belati”

Membaca dua rangkap ini sahaja sudah membawa nada revolusioner yang tajam. Bagaimana sebuah puisi telah menjadi masam? Pastinya Nizzar Qabbani menulisnya dengan sebuah perasaan yang perit. Betapa tidak? S.M. Zakir beritahu bahawa puisi ini ditulis ketika Arab tewas dalam Perang Enam Hari Arab-Israel 1967. Seorang nasionalis sepertinya sudah tentu merasakan maruahnya dinjak-injak dengan kekalahan tersebut lalu semuanya telah menjadi masam untuk dirasainya.